PBB desak demokrasi dikembalikan di Myanmar
Astro Awani
Februari 4, 2021 05:45 MYT
Februari 4, 2021 05:45 MYT
NAYPYITAW: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mendesak demokrasi dikembalikan di Myanmar.
Ia juga meminta junta tentera segera membebaskan Aung San Suu Kyi serta pemimpin politik lain yang ditahan.
Desakan ini adalah kenyataan pertama dikeluarkan Majlis Keselamatan sejak rampasan kuasa di Myanmar.
Anggota Majlis Keselamatan menyatakan kebimbangan dengan pengisytiharan darurat oleh junta tentera di Myanmar pada 1 Februari lalu, serta penahanan anggota kerajaan, termasuk Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi dan Presiden Win Myint.
Mereka mendesak pembebasan individu yang ditahan.
Anggota Majlis Keselamatan juga menekankan keperluan untuk terus menyokong peralihan demokratik di Myanmar.
Majlis Keselamatan turut menekankan keperluan untuk menyokong institusi dan proses demokrasi, mengelak keganasan dan menghormati sepenuhnya hak asasi, asas kebebasan dan prinsip undang-undang.
Sementara itu, pentadbiran Presiden Joe Biden mempertimbang untuk mengeluarkan perintah eksekutif susulan rampasan kuasa di Myanmar.
Washington dijangka mengenakan sekatan ke atas pemimpin tentera dan entiti berkaitan.
“Kami meneliti kemungkinan perintah eksekutif baharu. Kami meneliti sekatan bersasar ke atas individu dan entiti yang dikawal junta tentera.
“Kami pasti akan menemui banyak ruang untuk mencari sekatan yang perlu untuk junta tentera,” katanya.
Biden sebelum ini dilaporkan akan terus menyokong demokrasi di Myanmar.
Jabatan Negara kini dalam proses meneliti semula bantuan asing yang diberikan kepada negara itu.
#Aung San Suu Kyi
#PBB
#Myanmar
#Joe Biden
#demokrasi dikembalikan di Myanmar
#Junta
#rampasan kuasa