PBB bincang krisis pelarian di Poland-Belarus
Astro Awani
November 11, 2021 07:08 MYT
November 11, 2021 07:08 MYT
NEW YORK: Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) bermesyuarat pada Khamis untuk membincangkan krisis pelarian yang semakin memuncak di sempadan Poland-Belarus.
Bercakap menjelang Mesyuarat Majlis Keselamatan, wakil tetap UK ke PBB, Barbara Woodward berkata, krisis pelarian di Belarus boleh menyebabkan implikasi geopolitik yang ketara.
"Jelas sekali, ini sangat membimbangkan, dan kami akan bincangkan perkara ini di Mesyuarat Majlis Keselamatan. Nampaknya Belarus sedang menghasilkan krisis pelarian dengan implikasi geopolitik yang ketara yang bakal memberi implikasi kemanusiaan yang sangat serius.
"Siapa yang tidak terkesan dengan foto, imej dan laporan berkenaan pelarian yang tidak mempunyai bekalan mencukupi bagi menghadapi musim sejuk?" soalnya.
Ketika ini kumpulan pelarian sekali lagi dilihat cuba memasuki Poland dari negara jiran Belarus.
Kementerian Pertahanan Poland juga mendakwa tentera Belarus telah melepaskan tembakan ke udara di kawasan sempadan.
Kementerian itu menyiarkan video di akaun laman sosial rasmi Twitter dengan bunyi seperti tembakan.
Minggu ini turut menyaksikan kemuncak dramatik berikutan penghijrahan besar migran dari Timur Tengah yang ingin memasuki Poland, Lithuania dan Latvia.
Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) menuduh rejim Presiden Belarus, Alexander Lukashenko membuka laluan penghijrahan baharu ke Eropah bagi mewujudkan ketidakstabilan sebagai tindakan balas terhadap sekatan yang dikenakan blok itu ke atas kerajaannya berhubung tindakan keras negara itu terhadap perbezaan pendapat dalam negeri berikutan pilihan raya yang dipertikaikan.