PBB bimbang tindakan AS kenakan sekatan ke atas petugas ICC
Astro Awani
Jun 12, 2020 08:00 MYT
Jun 12, 2020 08:00 MYT
Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan sekatan ke atas petugas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menimbulkan kebimbangan kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Jurucakap kepada Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata badan dunia itu kini memantau implikasi tindakan berkenaan terhadap kerjasama mereka dengan ICC.
“Kami mengambil maklum laporan mengenai arahan eksekutif yang membenarkan sekatan ke atas beberapa individu di ICC.
“Kami juga ambil maklum kenyataan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berhubung apa jua sekatan dikenakan ke atas individu tertentu secara konsisten dengan kewajipan negara di bawah perjanjian PBB.
"Kami akan terus mengikuti rapat perkembangan isu ini,” katanya.
Sejumlah 123 negara mengiktiraf bidang ICC. Bagaimanapun, AS tidak pernah menjadi anggota ICC.
Kesatuan Eropah (EU) pula dalam pada itu menyatakan sokongan terhadap ICC.
Ketua Polisi Luarnya, Josep Borrel menyifatkan tindakan AS yang mengenakan sekatan ke atas petugas ICC sebagai membimbangkan.
“Ini adalah perkara yang serius, Kesatuan Eropah adalah penyokong kuat ICC. Kami memberikan sokongan kepada institusi ini.
“Mahkamah ini memainkan peranan penting menyediakan keadilan antarabangsa dan menangani kes jenayah antarabangsa. Ini adalah faktor penting dalam membawa keamanan dan keadilan.
“Ia harus dihormati dan disokong oleh semua negara. Kami akan menganalisa keputusan untuk menilai semua implikasi. Majlis pertama akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini.
"Namun daripada pandangan saya, saya mahu menyatakan sokongan sekali lagi kepada mahkamah ini,” ujarnya.
#Amerika Syarikat
#AS
#EU
#ICC
#jenayah
#Josep Borrel
#Kesatuan Eropah
#mahkamah
#Mike Pompeo
#PBB
#Stephane Dujarric