PBB bimbang serangan di Laut Merah

Astro Awani
Januari 5, 2024 08:45 MYT
Khaled Khiari memaklumkan, ancaman berterusan puak Houthi ke atas perjalanan maritim di kawasan itu berpotensi menyebabkan ketegangan meluas. - Foto X/UN News Centre
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran berkaitan impak ke atas politik, keselamatan, ekonomi dan kemanusiaan susulan ketegangan ketenteraan di Laut Merah.
Pembantu Setiausaha Agung, Khaled Khiari memaklumkan, ancaman berterusan puak Houthi ke atas perjalanan maritim di kawasan itu berpotensi menyebabkan ketegangan meluas.
"Berhubung situasi keseluruhan di rantau itu, kami menggalakkan semua pihak berkepentingan untuk elak ketegangan dan mengurangkan ancaman.
"Ini adalah kritikal supaya trafik di Laut Merah boleh kembali kepada keadaan biasa dan risiko Yaman terjerumus dalam konflik serantau boleh dielakkan," katanya.
Sejak beberapa minggu, puak Houthi mengaku bertanggungjawab ke atas serangan terhadap kapal di Laut Merah yang didakwa mempunyai kaitan dengan Zionis atau menuju ke pelabuhan Israel.
Mereka mendakwa serangan ini disasarkan untuk menamatkan operasi Israel ke atas Semenanjung Gaza.
#Laut Merah #PBB #Houthi #serangan
;