PBB bimbang risiko peningkatan kebuluran di Gaza
Astro Awani
Januari 24, 2024 08:45 MYT
Januari 24, 2024 08:45 MYT
GAZA: Penduduk di Semenanjung Gaza menghadapi risiko kebuluran yang semakin meningkat ketika perang Israel-Palestin terus berlarutan melebihi 100 hari.
Amaran itu dikeluarkan Program Makanan Sedunia (WFP), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jurucakap kanan WFP Asia Barat, Abeer Etefa, dalam satu taklimat media berkata, situasi di Gaza sudah tentu tergelincir setiap hari ke dalam situasi yang lebih dahsyat dengan "ancaman kebuluran yang semakin meningkat".
Kajian dijalankan antara 24 November dan 7 Disember mendapati kesemua 2.2 juta penduduk di wilayah Palestin berada dalam tahap krisis kekurangan makanan.
Menurut kajian itu, lebih setengah juta orang di Gaza menghadapi tahap bencana makanan tidak selamat, manakala risiko kebuluran meningkat setiap hari.
Etefa berkata walaupun dengan konflik bertahun-tahun yang panjang di tempat seperti Syria, Yaman dan Sudan, pihaknya tidak melihat tahap bilangan orang yang tinggi dalam keadaan seperti itu dalam jangka masa yang singkat.
Perang Gaza meletus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Serangan berterusan Israel sebagai tindak balas telah membunuh sekurang-kurangnya 25,490 orang di Gaza, kira-kira 70 peratus daripadanya wanita, kanak-kanak dan remaja.
Etefa berkata kira-kira 70 peratus permintaan WFP untuk menghantar makanan ke utara Gaza ditolak oleh pihak berkuasa Israel.
Penghantaran terakhir ke utara adalah sekitar 11 dan 13 Januari, membawa 200 tan makanan untuk 15,000 orang di Kota Gaza.
Menurut beliau, jumlah itu sangat kecil dan di bawah paras minimum.
Agensi Kemanusiaan PBB (OCHA) berkata bahawa dalam dua minggu pertama Januari, hanya tujuh daripada 29 misi yang dirancang untuk menghantar bekalan menyelamatkan nyawa ke utara Gaza dibenarkan oleh pihak berkuasa Israel.
Sejak 7 Oktober, WFP menghantar 1,403 trak yang membawa lebih 24,000 tan makanan ke Gaza, termasuk lebih 730 trak yang membawa lebih 13,000 tan pada Januari setakat ini.
Ia mempunyai 21,000 tan bekalan makanan lagi, iaitu cukup untuk dua juta penduduk di Gaza selama sebulan.