PBB bimbang peningkatan sentimen anti-Islam di seluruh dunia

Agensi
Mac 15, 2025 10:40 MYT
Guterres menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan diskriminasi, pengasingan dan keganasan yang dihadapi oleh umat Islam, terutama ketika mereka menjalani bulan suci Ramadan. - Gambar fail Reuters
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan terdapat peningkatan yang membimbangkan terhadap kebencian dan diskriminasi terhadap umat Islam di seluruh dunia.
Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres menggesa platform teknologi dalam talian untuk mengekang ucapan kebencian dan gangguan.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh Ketua Stafnya, Courtenay Rattray, di Perhimpunan Agung PBB, Guterres menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan diskriminasi, pengasingan dan keganasan yang dihadapi oleh umat Islam, terutama ketika mereka menjalani bulan suci Ramadan.
“Daripada profil perkauman dan dasar diskriminasi yang melanggar hak asasi manusia, hingga keganasan secara terang-terangan terhadap individu serta tempat ibadah.
"Serangan terhadap umat Islam ini adalah sebahagian daripada ancaman lebih besar yang melibatkan ekstremisme, intoleransi dan keganasan terhadap kumpulan agama serta komuniti rentan,” katanya.
Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia telah ditetapkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 15 Mac 2022 melalui resolusi yang diperkenalkan oleh Pakistan bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Resolusi ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai peningkatan Islamofobia di peringkat global serta memperkukuh komitmen antarabangsa untuk menentang diskriminasi, pengasingan dan keganasan terhadap umat Islam.
Dalam mesejnya, Guterres turut menekankan kepentingan melindungi hak asasi manusia, dengan menegaskan serangan terhadap mana-mana kumpulan agama adalah ancaman terhadap kebebasan semua pihak.
Beliau tidak ketinggalan menggesa kerajaan di seluruh dunia untuk melindungi kebebasan beragama, memupuk perpaduan sosial serta menangani peningkatan ucapan kebencian dan gangguan di platform digital.
Guterres juga menyeru masyarakat antarabangsa agar bersatu menentang xenofobia, diskriminasi dan prasangka serta membina masyarakat yang inklusif di mana setiap individu boleh hidup dalam keadaan aman tanpa mengira kepercayaan agama mereka.
#anti-Islam #PBB bimbang #Antonio Guterres #diskriminasi
;