PBB beri jaminan inkuiri terhadap UNRWA berjalan lancar

Astro Awani
Januari 29, 2024 07:15 MYT
Stephane Dujarric berkata, Setiausaha Agung kekal aktif berhubung isu ini bagi memastikan siasatan berjalan lancar dan berkesan. - Foto fail/UN
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu inkuiri bagi menyiasat dakwaan Israel ke atas agensinya UNRWA dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Kenyataan ini dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres selepas bertemu ketua pasukan penyiasat dalaman PBB.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, Setiausaha Agung kekal aktif berhubung isu ini bagi memastikan siasatan berjalan lancar dan berkesan.
"Setiausaha Agung bertemu dengan Setiausaha Agung rendah untuk memastikan siasatan dijalankan dengan lancar dan efisien. Sebarang kakitangan yang terlibat dalam aktiviti keganasan akan dipertanggungjawabkan, termasuk menerusi pendakwaan jenayah.
"Seperti yang dinyatakan, beliau sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendakwa individu sejajar dengan prosedur standard untuk kerjasama ini," katanya.
Amerika Syarikat dan beberapa negara lain menggantung dana untuk UNRWA selepas Israel mendakwa kakitangan agensi itu terlibat dalam serangan Hamas 7 Oktober lalu.
Dalam laporan yang didedahkan Israel, ia mendakwa 190 kakitangan agensi itu adalah militan.
UNRWA dalam pada itu memaklumkan mungkin terpaksa menamatkan operasi dalam tempoh sebulan, jika dana kewangan tidak disambung semula.
Setakat ini 150 kakitangan agensi itu terbunuh di Gaza.
#UNRWA #PBB #siasatan dalaman #Antonio Guterres
;