PBB beri ancaman 'bencana yang semakin hampir' di Asia Barat
Bernama
September 22, 2024 20:59 MYT
September 22, 2024 20:59 MYT
BEIRUT/TEL AVIV: Penyelaras khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert, memberi amaran bahawa Asia Barat sedang menghadapi situasi bencana, dengan menyatakan bahawa rantau itu "berada di ambang bencana yang semakin hampir", lapor Agensi Berita Jerman, Deutsche Presse-Agentur (dpa).
"Tiada penyelesaian ketenteraan yang akan membuat mana-mana pihak lebih selamat," katanya.
Kenyataan Hennis-Plasschaert merujuk kepada pertempuran berterusan antara tentera Israel dan Hizbullah di Lubnan, yang berlanjutan sepanjang malam.
Kedua-dua pihak terlibat dalam beberapa tembakan paling sengit sejak konfrontasi mereka bermula semula hampir setahun yang lepas.
Misi pemerhati PBB, UNIFIL (Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan) memantau sempadan Israel-Lubnan sejak 1978.
Bulan lepas, tiga askar UNIFIL cedera ringan akibat letupan berhampiran kenderaan mereka di selatan Lubnan.
Misi itu kini melibatkan kira-kira 10,000 anggota tentera dan 800 kakitangan awam. Sejak ia bermula hampir 50 tahun yang lalu, lebih 300 anggota pengaman PBB terkorban.
-- BERNAMA