PBB beri amaran tentang krisis kemanusiaan 'yang parah' di Afghanistan
Bernama
Mac 7, 2025 14:00 MYT
Mac 7, 2025 14:00 MYT
Jurucakap PBB Stephane Dujarric pada Khamis memberi amaran tentang krisis kemanusiaan "yang parah" di Afghanistan.
WASHINGTON: Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis memberi amaran tentang krisis kemanusiaan "yang parah" di Afghanistan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Lebih separuh daripada populasi, iaitu 23 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan di negara itu.
"Angka ini adalah antara yang tertinggi di peringkat global, kedua selepas Sudan dengan 30 juta orang memerlukan bantuan dan perlindungan," kata jurucakap PBB Stephane Dujarric kepada pemberita.
Pada suku pertama 2025, ketakjaminan makanan dan kekurangan zat makanan masih "sangat tinggi" di Afghanistan, manakala hampir 15 juta orang--satu daripada setiap tiga rakyat Afghanistan--dijangka mengalami tahap ketakjaminan makanan akut yang teruk.
"Hampir 3.5 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun, dan lebih 1 juta wanita hamil dan menyusukan anak dijangka mengalami kekurangan zat makanan akut," kata Dujarric.
Afghanistan juga berdepan dengan ancaman kelaparan, kemiskinan, sistem kesihatan awam yang hampir runtuh termasuk bencana alam.
-- BERNAMA