PBB beri amaran situasi di Gaza kritikal
Astro Awani
Oktober 27, 2023 07:45 MYT
Oktober 27, 2023 07:45 MYT
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran situasi kemanusiaan di Gaza berdepan kelumpuhan keseluruhan dengan kesan yang tidak dapat dibayangkan.
Ini susulan jumlah bantuan yang memasuki Gaza tidak mencukupi dengan keperluan penduduk.
Menurut jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric, sebelum perang, sejumlah 500 trak bantuan memasuki Gaza setiap hari.
Namun ia kini terhad kepada 12 trak sehari akibat pelbagai sekatan oleh Israel.
"Sistem kemanusiaan di Gaza berdepan kelumpuhan keseluruhan dengan kesan yang tidak dapat dibayangkan untuk lebih 2 juta penduduk awam.
"Ketika serangan meningkat, wujud keperluan lebih kritikal ketika ini. Sekitar 500 trak menyeberangi ke Gaza sebelum pertempuran tercetus. Namun sejak kebelakangan ini, hanya 12 trak dibenarkan memasuki Gaza, walaupun situasinya lebih kritikal daripada sebelum ini," katanya.
Menurut Dujarric, keperluan kritikal adalah bahan api untu operasi PBB.
Jika tiada bekalan diterima, agensi itu tidak dapat meneruskan kerja-kerja bantuan.