PBB beri amaran perubahan iklim cetus 14 peratus kebakaran hutan pada 2030, 50 peratus pada 2100

Bernama
Februari 23, 2022 20:19 MYT
Jumlah kebakaran hutan di seluruh dunia mungkin meningkat 14 peratus menjelang 2030 dan 50 peratus menjelang 2100. - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Jumlah kebakaran hutan di seluruh dunia mungkin meningkat 14 peratus menjelang 2030 dan 50 peratus menjelang 2100, menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.
Justeru, agensi itu menyeru masyarakat antarabangsa menumpukan perhatian kepada pencegahan berbanding langkah-langkah tindak balas.
Dapatan itu dibuat dalam laporan yang disediakan bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan, GRID-Arendal menjelang Perhimpunan Alam Sekitar PBB akhir bulan ini, lapor Sputnik.
"Perubahan iklim dan penggunaan tanah diunjur mencetuskan kebakaran hutan lebih kerap dan besar, dengan peningkatan global kebakaran besar sehingga 14 peratus menjelang 2030, 30 peratus menjelang akhir 2050 dan 50 peratus menjelang akhir tahun abad ini," menurut badan antarabangsa itu.
Agensi itu turut menyeru kerajaan untuk mengalihkan pelaburan daripada "reaksi dan tindak balas kepada pencegahan dan siap siaga."
"Kerajaan diseru menerima pakai 'Formula Persediaan Kebakaran' baharu, dengan dua pertiga perbelanjaan diperuntukkan kepada perancangan, pencegahan, persediaan dan pemulihan, satu pertiga lagi untuk respons.
"Pada masa ini, respons langsung kepada kebakaran hutan biasanya menerima lebih separuh daripada perbelanjaan berkaitan, manakala perancangan menerima kurang satu peratus," menurut kenyataan agensi itu.
Selain bencana yang memusnahkan, kebakaran hutan menjejaskan negara termiskin di dunia, kerana pemulihan kawasan terjejas mungkin di luar kemampuan negara berpendapatan rendah, dengan sisa kebakaran memerlukan kaedah pelupusan yang sesuai.
-- BERNAMA
#kebakaran hutan #perubahan iklim #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #PBB #program alam sekitar
;