PBB adakan mesyuarat pertama bincang risiko AI

Astro Awani
Julai 19, 2023 03:10 MYT
Setiausaha Luar Britain, James Cleverly yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, AI akan "mengubah secara asas setiap aspek kehidupan manusia." - Foto REUTERS
LONDON: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat pertama mengenai kecerdasan buatan (AI), pada Selasa.
Setiausaha Luar Britain, James Cleverly yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, AI akan "mengubah secara asas setiap aspek kehidupan manusia."
Justeru itu katanya, dunia perlu segera membentuk tadbir urus global teknologi transformatif kerana AI tidak mengenal sempadan.
Bagaimanapun katanya, AI boleh membantu menangani perubahan iklim dan meningkatkan ekonomi.
Tetapi beliau juga memberi amaran bahawa teknologi itu menyemarakkan maklumat yang salah dan boleh membantu negara atau militan dalam usaha mendapatkan senjata.

The first time that AI has ever been raised at the @UN Security Council. The UK is leading the global response to AI. But we cannot do it alone. pic.twitter.com/Hx5lLgBS2y

— James Cleverly (@JamesCleverly) July 18, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Majlis 15 ahli itu diberi taklimat oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres; pengasas bersama syarikat permulaan AI berprofil tinggi Anthropic, Jack Clark dan pengarah bersama Pusat Penyelidikan China-UK untuk Etika dan Tadbir Urus AI, Profesor Zeng Yi.
Menurut Guterres, kedua-dua aplikasi ketenteraan dan bukan ketenteraan AI boleh membawa kesan yang sangat serius untuk keamanan dan keselamatan global.
Guterres menyokong gesaan beberapa negera untuk mewujudkan badan PBB baharu "untuk menyokong usaha kolektif mentadbir teknologi AI yang dimodelkan pada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa atau panel antara kerajaan mengenai perubahan iklim.
Sementara itu, duta besar China untuk PBB, Zhang Jun menyifatkan AI sebagai "pedang bermata dua" dan berkata, Beijing menyokong peranan penyelaras pusat PBB dalam mewujudkan prinsip panduan untuk AI.
Timbalan duta besar Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Jeffrey Delaurentis juga berkata, terdapat keperluan bagi negara untuk turut bekerjasama dalam AI dan teknologi baharu untuk menangani risiko hak asasi manusia dan menjejaskan keamanan dan keselamatan.
Tegasnya, tiada negara anggota harus menggunakan AI untuk menapis, mengekang, menindas atau melemahkan kuasa orang.
#AI #James Cleverly #PBB #UNSC