PBB: Abang polis 'sado' elak benda pelik berlaku di New York
Harits Asyraf Hasnan
September 26, 2018 18:12 MYT
September 26, 2018 18:12 MYT
Dianggarkan kesesakan luar biasa atau ‘gridlock’ di New York akan berlaku dalam tempoh hampir 20 hari setahun.
Namun semalam, kota raya ini mengalami antara kesesakan luar biasa paling kritikal sempena pembukaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-73.
Kesesakan itu bertambah serius disebabkan oleh kawalan keselamatan tahap tertinggi yang ditetapkan oleh Jabatan Polis New York (NYPD).
Mana tidaknya, ribuan pemimpin-pemimpin dunia merangkumi presiden, raja, perdana menteri dan menteri-menteri kanan dari 133 buah negara telah menyatakan persetujuan hadir pada sidang kali ini.
Beberapa batang jalan utama menuju ke bangunan PBB turut ditutup kepada semua kenderaan termasuk penunggang basikal serta pejalan kaki.
Semua deligasi termasuk wakil media perlu berjalan kaki menuju ke bangunan PBB di mana ia dilihat sebagai ‘medium akses terpantas’ untuk ke laluan di 1st Ave itu.
Malah, kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke bandaraya ini juga menyebabkan laluan utama di hadapan Menara Trump, turut ditutup.
Bukan biasa-biasa, persimpangan di 5th Ave itu ditutup menggunakan hampir 10 buah lori.
Pastinya, tahap keselamatan yang tinggi itu memberi satu jaminan kepada para delegasi yang hadir, namun tidak bagi penduduk tempatan apabila bukan sahaja terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas, malah menukar laluan disebakan penutupan jalan.
#Amerika Syarikat
#Donald Trump
#gridlock
#kesesakan lalu lintas
#Mahathir Mohamad
#New York
#PBB
#Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu