Paus Francis sambut ulang tahun ke-12 sebagai ketua Vatican di hospital
Bernama
Mac 14, 2025 13:20 MYT
Mac 14, 2025 13:20 MYT
Poster dengan gambar Paus Francis beserta tulisan 'happy anniversary' diletakkan di hadapan Hospital Gemelli, di Rom, 13 Mac 2025. (Foto AP)
VATICAN: Ketua Gereja Katolik, Paus Francis menyambut ulang tahun ke-12 pelantikannya sebagai pemimpin tertinggi Vatican ketika beliau masih menerima rawatan di hospital akibat masalah pernafasan.
Paus yang berusia 88 tahun itu dimasukkan ke Hospital Gemelli, Rom selama 28 hari selepas mengalami jangkitan pernafasan pada Februari lalu sebelum disahkan menghidap radang paru-paru.
Vatican dalam kenyataannya memaklumkan, Paus Francis meneruskan sesi fisioterapi pernafasan pada Khamis dan masih memerlukan bantuan "ventilasi mekanikal bukan invasif" pada waktu malam serta sokongan oksigen aliran tinggi sepanjang hari.
Sempena ulang tahun pelantikannya sebagai pemimpin Gereja Katolik pada 13 Mac 2013, para doktor dan jururawat di hospital meraikan beliau dengan memotong kek sebagai tanda penghormatan.
-- BERNAMA