Paus Francis perlu ‘belajar semula bercakap’ selepas terapi oksigen - Kardinal Fernandez

Agensi
Mac 22, 2025 09:20 MYT
Paus Francis perlahan-lahan kembali pulih di hospital tetapi perlu "belajar semula cara bercakap" selepas penggunaan terapi oksigen aliran tinggi yang berpanjangan. - Gambar fail Reuters
ROM: Paus Francis perlahan-lahan kembali pulih di hospital tetapi perlu "belajar semula cara bercakap" selepas penggunaan terapi oksigen aliran tinggi yang berpanjangan, kata Kardinal Victor Manuel Fernandez pada Jumaat.
Fernandez yang juga pemimpin kanan gereja Katolik selepas Paus Francis yang mengetuai pejabat doktrin Vatican itu menolak spekulasi bahawa pemimpin tertinggi itu akan bersara dan berkata beliau sedang kembali kepada keadaan asal dirinya.
"Paus berada dalam keadaan sangat baik dan aliran oksigen yang tinggi telah mengeringkan segalanya.
"Ketika ini beliau perlu belajar semula bagaimana untuk bercakap, bagaimanapun keadaan fizikal keseluruhannya adalah seperti sebelum ini," katanya.
Paus berusia 88 tahun itu telah dirawat di hospital selama lima minggu akibat pneumonia berganda dan sepanjang tempoh itu Vatican hanya mengeluarkan satu rakaman audio ringkas beliau bercakap, pada 6 Mac lalu dengan suaranya yang serak, lelah dan sukar difahami.
Dalam kemas kini kesihatan terbaharu yang dikeluarkan pada Jumaat, Vatican menjelaskan, keadaan paus kekal stabil dengan "peningkatan kecil dalam pernafasan dan mobiliti."
Ia mengesahkan bahawa beliau tidak lagi menggunakan alat ventilasi mekanikal untuk bantuan pernafasan pada waktu malam sejak Isnin, tetapi masih menerima oksigen melalui saluran kecil di bawah hidungnya untuk sebahagian besar masa.
Masih belum ada pengumuman rasmi tentang bila beliau akan kembali ke Vatican dan Fernandez berkata, beliau tidak pasti sama ada paus akan keluar dari hospital sebelum sambutan Easter pada 20 April ini.
"Beliau mungkin akan kembali, tetapi doktor mahu memastikan beliau pulih sepenuhnya kerana beliau percaya bahawa dengan sedikit masa yang masih ada, beliau mahu mendedikasikan dirinya sepenuhnya kepada orang lain, bukan kepada dirinya sendiri," kata Fernandez lagi.
Ditanya sama ada beliau berpendapat Paus Francis mungkin akan meletakkan jawatan, kardinal itu menjawab: "Saya benar-benar tidak fikir begitu, tidak."
Paus Francis telah mengalami beberapa masalah kesihatan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dan terdedah kepada jangkitan paru-paru kerana beliau pernah mengalami pleuritis ketika muda dan telah menjalani pembedahan membuang sebahagian daripada paru-parunya. - Agensi
#Paus Francis #Vatican #Kardinal Victor Manuel Fernandez #Paus Francis sakit
;