Patung 'Squid Game' antara tarikan utama di Netflix at The Grove

Faida Rahim
Oktober 22, 2022 11:54 MYT
Premis Netflix di The Grove menawarkan pengalaman istimewa buat peminat rancangan popular "Stranger Things", "Bridgerton", "Squid Game", "Cocomelon" dan "Ada Twist, Scientist". -Gambar Netflix
LOS ANGELES: Syarikat penstriman gergasi Netflix melancarkan sebuah premis beli belah buat peminat siri popularnya.
Premis yang terletak di The Grove, Los Angeles, Amerika Syarikat itu menawarkan pengalaman istimewa buat peminat rancangan popular khususnya siri "Stranger Things", "Bridgerton", "Squid Game", "Cocomelon" dan "Ada Twist, Scientist".
Memetik laporan The Hollywood Reporter, kedai pop up "Netflix at The Grove” mula dibuka kepada orang ramai pada 13 Oktober dan masuk adalah percuma.
“Netflix at The Grove” menawarkan pengalaman beli belah istimewa dengan mengetengahkan pelbagai produk buku, pakaian, koleksi patung funko dan banyak lagi.
Untuk peminat drama “Squid Game”, kedai Netflix menawarkan peluang buat pengunjung mengambil gambar dengan patung animatronik Young-hee dan juga watak dari "Bridgerton”, Ratu Charlotte.
Ruang runcit milik Netflix yang beroperasi hingga Januari depan ini dijangka meletakkan himpunan potret gambar program istimewa cuti sekolah di Netflix termasuk "Pinocchio" karya Guillermo del Toro, "Slumberland", "Enola Holmes", "The School for Good and Evil", "Matilda", dan "Emily di Paris" di tingkat dua.
Pembukaan kedai jenama Netflix ini merupakan antara usaha terbaharu syarikat untuk meningkatkan pengalaman beli-belah yang mengasyikkan serta menekankan bahawa ia kini mempunyai ekuiti jenama yang mencukupi untuk menyokong sesuatu yang lebih besar.
#Squid Game #Netflix at The Grove #Young-hee #Bridgerton
;