Pasukan veterinar siasat punca kematian paus Bryde di perairan Thailand
Agensi
Jun 22, 2019 13:53 MYT
Jun 22, 2019 13:53 MYT
Penemuan bangkai seekor paus Bryde di perairan Chumphon, pada Khamis membuatkan sepasukan veterinar Thailand bertungkus-lumus melakukan bedah siasat untuk mencari sebab kematian spesies istimewa itu.
Portal berita Bangkok Post melaporkan, sekumpulan veterinar dari Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Sumber Marin negara itu terus menjalankan proses autopsi sejurus mamalia seberat 10 tan itu ditunda ke pantai Suan Son di daerah Chana.
Bangkai paus yang dipercayai berusia 10 tahun itu ditemui terapung oleh nelayan tempatan. Ia berukuran 10.80 meter panjang dan disahkan sebagai salah satu daripada paus terbesar yang pernah ditemui di perairan Thailand.
Di perairan negara itu, kelibat paus Bryde pernah dilihat sekitar 60 kali sebelum ini.
Ahli veterinar Watchara Sakornwimol pada Jumaat dipetik sebagai berkata, terdapat tiga kemungkinan paus itu mati.
“Paus ini sama ada sakit dan terlanggar batu, terperangkap di jaring nelayan, ataupun dilanggar oleh bot tunda.
Tambah Watchara, selain mengenal pasti punca kematian, paus itu juga diperiksa sama ada pernah ditanda dan didaftar dengan jabatan marin.
Ketua Pengarah jabatan tersebut, Jatuporn Buruspat berkata, pihaknya giat mengumpulkan maklumat lanjut daripada nelayan, pengendali pelancongan dan pelancong. Tambahnya, kematian mamalia laut sebesar itu selalunya bukan akibat faktor semula jadi.
Paus Bryde biasanya boleh ditemui di setiap bahagian laut di seluruh dunia, namun ia lebih gemar berada di perairan yang suhunya sekitar 16 darjah Celcius atau lebih tinggi, misalnya di zon tropika dan subtropika.