Pasukan Taiwan kumpul bukti
Astro Awani
Mei 28, 2013 07:41 MYT
Mei 28, 2013 07:41 MYT
Pasukan penyiasat Taiwan meneruskan usaha memeriksa kapal pengawal pantai Filipina yang terlibat dalam insiden tersebut.
Proses pengumpulan bukti dijalankan pasukan biro siasatan Taiwan.
Siasatan meliputi pemeriksaan ke atas rekod perjalanan bot tersebut, serta rekod trajektori balistik.
Sehingga kini, punca insiden tembakan 9 Mei, yang menyebabkan nelayan Taiwan terkorban, masih jadi pertikaian.
Manila mendakwa pengawal pantainya terpaksa menembak bot membawa nelayan tersebut, yang dikatakan cuba merempuh mereka.
Namun dakwaan itu dinafikan Taiwan.
Pasukan penyiasat Filipina yang berada di Taiwan akan mengambil giliran memeriksa bot nelayan mangsa.
Manila sebelum ini mengemukakan permohonan maaf, namun Taiwan enggan menerimanya.
Taiwan sebaliknya, membekukan pengambilan pekerja Filipina, memanggil pulang dutanya serta mengurangkan perdagangan dua hala.
Insiden berlaku di kawasan wilayah maritim yang jadi tuntutan beberapa negara, sekaligus membangkitkan semula isu tuntutan wilayah, termasuk oleh China.