Pasukan SAR Indonesia giat cari pesawat hilang di Kalimantan Utara
Bernama
Mac 9, 2024 17:40 MYT
Mac 9, 2024 17:40 MYT
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia pada Sabtu sedang mempergiatkan usaha mencari sebuah pesawat Pilatus yang hilang di Kalimantan Utara ketika membawa barangan keperluan.
Pesawat dikendalikan oleh PT Smart Aviation itu dalam perjalanan menuju ke Krayan, Nunukan sebelum terputus hubungan sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Juwata Tarakan pada 8.26 pagi waktu tempatan pada Jumaat.
Perkhidmatan trafik udara negara itu, Airnav tidak menerima maklumat terkini mengenai kedudukan pesawat pada 11.26 pagi, sebelum melaporkannya kepada Pejabat Mencari dan Menyelamat Tarakan (Basarnas).
"Operasi pencarian, termasuk dari udara oleh dua pesawat dari Long Bawan ke Binuang, tidak mendapati tanda-tanda pesawat hilang," menurut ketua Basarnas Tarakan Syahril dalam satu kenyataan.
Basarnas Pusat kemudiannya berkongsi koordinat daripada pemancar pencari kecemasan pesawat untuk membantu dalam pencarian.
-- BERNAMA