Pasukan petugas khas akan diwujudkan kaji penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura
Bernama
Julai 14, 2023 00:11 MYT
Julai 14, 2023 00:11 MYT
SINGAPURA: Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk mewujudkan pasukan petugas khas bagi mengkaji penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
Pasukan petugas khas itu akan melaporkan perkembangannya kepada para pemimpin apabila mereka mengadakan pertemuan ketika Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura akan datang yang dijadualkan pada Oktober ini.
Perkara ini diumumkan oleh Menteri Ekonomi Malaysia Rafizi Ramli dan Menteri Pembangunan Negara Singapura Desmond Lee dalam sidang akhbar bersama di sini pada Jumaat.
Terdahulu, kedua-dua menteri mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) ke-16.
Idea penubuhan Zon Ekonomi Khas itu dicetuskan oleh Rafizi.
"Kita mempunyai pentadbiran baharu di Malaysia dan ia berhasrat agar kita bekerjasama erat dengan rakan negara di rantau ini dan di seluruh dunia, (lebih-lebih lagi dengan) rakan negara yang berkongsi warisan sama seperti Singapura," katanya.
Rafizi berkata Singapura dan Johor mempunyai lebih banyak kesalinghubungan sejak dua atau tiga dekad lepas tanpa mengambil kira perkembangan politik di Singapura dan Malaysia, atau di antara kedua-dua negara.
"Hakikatnya, pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan di antara Singapura dan Malaysia akan terus berkembang," katanya sambil memaklumkan kedua-dua negara perlu memanfaatkan kekuatan masing-masing.
"Singapura mempunyai keistimewaannya dan memiliki capaian yang lebih baik dalam beberapa bidang. Johor pula mempunyai sumber dan kelebihannya. Sekiranya kita bergerak secara bersendiri, kita akan terbatas dari segi kemungkinan pelaburan dan nilai ekonomi yang boleh kita wujudkan (bersama).
"Apa yang lebih penting, saya berharap ia akan membuktikan keyakinan kita bahawa satu-satunya langkah untuk berjaya adalah memanfaatkan persaingan dan kesalinghubungan menerusi kaedah paling positif," katanya.
Sehubungan itu, Rafizi berkata usaha cemerlang kumpulan kerja JMCIM sejak 15 tahun lepas wajar ditingkatkan kepada Zon Ekonomi Khas yang lebih komprehensif.
"Kita telah menetapkan parameter tertentu sebagai permulaan. Pegawai dari Malaysia dan Singapura akan mula merangkanya dan kita berharap dapat menetapkan visi lebih muktamad bagi memberi kemas kini kepada pemimpin Malaysia dan Singapura yang akan bertemu pada Oktober," katanya.
Atas dasar itu, Rafizi berkongsi harapannya "agar ini akan membawa lebih banyak jangkaan baik dari Singapura dan Johor dalam tahun-tahun mendatang."
Sementara itu, berkongsi nada sama, Lee berkata Zon Ekonomi Khas tersebut akan menjana banyak manfaat kepada rakyat Johor-Singapura serta Malaysia.
Beliau berkata, ini tidak hanya memacu aspek ekonomi dan menyediakan cadangan nilai yang memberangsangkan bagi membina kekukuhan serta daya tarikan Johor dan Singapura, sebaliknya turut mengundang faedah yang ketara dari segi pekerjaan, mata pencarian dan kehidupan lebih baik untuk kedua-dua bahagian tambak berkenaan.
"Kita sememangnya teruja untuk bekerjasama dengan pasukan petugas khas itu," katanya.
Menjawab pertanyaan berkaitan tempoh masa serta tumpuan bagi pembentukan Zon Ekonomi Khas itu, Lee berkata tugas pertama pasukan itu adalah untuk merangka aspek rujukan serta bidang berkaitan dalam kerjasama itu.
"Itulah tugasan pertama mereka, namun JMCIM bukanlah bermula daripada asas yang kosong kerana kerjasama ini sudah dijalinkan bertahun-tahun lamanya.
"Bahkan, kebanyakan tugas yang telah disempurnakan oleh pasukan itu merupakan usaha amat baik (berkaitan dengan) kesalinghubungan pengangkutan, inovasi, ekosistem perniagaan, alam sekitar, pelancongan, teknikal serta latihan kemahiran," katanya.
Berikutan itu, kata Lee, sebahagian besar daripada aspek tersebut akan digerakkan dalam usaha menyokong visi Zon Ekonomi Khas tersebut.
"Sudah pasti, lebih banyak perkara yang akan dibincangkan...tetapi bagi saya, perkara asasnya adalah merangka visi serta menetapkan semangat yang akan memacu usaha ini," katanya.
Ketika mengulas perkara sama, Rafizi menyifatkan aspek pengharmonian itu perlu diperincikan bagi memastikan nilai ekonomi yang menggabungkan Johor dan Singapura sebagai satu pakej, menjadi lebih menarik.
"Jika kita mahu beroperasi dan berfungsi sebagai satu kesatuan ekonomi, satu rantau ekonomi, (maka) kita perlu melakukan yang terbaik untuk memastikan pelaksanaannya yang lancar.
"Ada beberapa perkara perlu diusahakan bagi pengharmonian...satu zon ekonomi secara khusus ini akan membolehkan pergerakan penduduk dan barangan. Oleh itu, ada beberapa pengharmonian yang perlu kita lakukan dari segi imigresen, kastam dan ini semua masih di peringkat awal," kata Rafizi.
-- BERNAMA