Pasukan pengaman PBB mesti berundur ikut tarikh akhir ditetapkan - Presiden DR Congo

Bernama
November 15, 2023 16:41 MYT
Misi Pengaman PBB di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) telah ditempatkan di timur DR Congo sejak tahun 1999. - Gambar fail
KIGALI (Rwanda): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti mempercepatkan pengunduran pasukan pengamannya dari Republik Demokratik Congo (DRC) mengikut tarikh akhir yang dipersetujui, kata Presiden Felix Tshisekedi pada Selasa.
Misi Pengaman PBB di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) telah ditempatkan di timur DR Congo sejak tahun 1999.
PBB pada 2020 mengumumkan pengunduran pasukan pengaman terbesarnya secara berperingkat akan bermula pada 2024.
Tshisekedi bagaimanapun menetapkan pengunduran itu bermula sebelum penghujung tahun ini, lapor Agensi Anadolu.
Dalam ucapan negara terakhirnya menjelang pilihan raya presiden pada Disember, Presiden berkata sudah tiba masanya bagi DR Congo untuk menentukan nasibnya sendiri serta menjadi pemain utama dalam keselamatan dan kestabilan negara itu.
"Oleh itu, komitmen MONUSCO untuk pengunduran berperingkat, bertanggungjawab dan mampan yang diumumkan sejak tahun 2018 serta pelan peralihan yang diterima pakai pada tahun 2021 mesti dilaksanakan," katanya.
Tshisekedi berkata, pasukan serantau Komuniti Afrika Timur (EAC) yang dikerah untuk menghentikan keganasan di timur negara itu juga mesti keluar apabila mandatnya berakhir pada 8 Dis.
Beliau juga menyatakan kekecewaan terhadap keberkesanan misi PBB itu yang mempunyai kira-kira 15,000 anggota pasukan pengaman dalam menangani keganasan.
Beberapa siri bantahan telah meletus terhadap pasukan itu yang didakwa orang ramai gagal menghentikan keganasan oleh beberapa kumpulan bersenjata di timur Congo yang kaya dengan mineral.
Beribu-ribu orang di Kivu Utara dan Ituri kini tinggal di kem-kem yang terjejas teruk akibat konflik di timur DR Congo.
-- BERNAMA
#pasukan pengaman #PBB #Republik Demokratik Congo #Felix Tshisekedi
;