Pasukan pengaman disasarkan secara sengaja di selatan Lubnan - Jurucakap UNIFIL

Bernama
Oktober 18, 2024 23:07 MYT
Menekankan keperluan untuk kehadiran berterusan UNIFIL, jurucakap pasukan itu memberi jaminan bahawa "moral pasukan pengaman kekal sangat tinggi." - AP
BEIRUT: Jurucakap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Jumaat mengesahkan bahawa pasukan itu yang beroperasi di selatan Lubnan telah disasarkan beberapa kali, dengan lima serangan itu disifatkan sebagai "sengaja", lapor Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).
"Kedudukan kami telah berulang kali diserang di Lubnan, meletakkan pasukan pengaman dalam bahaya," kata jurucakap itu dalam satu taklimat media di Geneva.
Beliau melahirkan rasa terkejut dengan kemusnahan di banyak perkampungan Lubnan di sepanjang dan melepasi 'Blue Line', menyifatkan kerosakan itu sebagai "membimbangkan."
Menekankan keperluan untuk kehadiran berterusan UNIFIL, jurucakap itu memberi jaminan bahawa "moral pasukan pengaman kekal sangat tinggi."
Jurucakap itu yang mengesahkan penemuan potensi penggunaan fosforus putih berhampiran sebuah pangkalan berkata: "Kami menemukan kesan yang dipercayai fosforus putih beberapa bulan lalu berhampiran satu daripada pangkalan kami."
Beliau menambah bahawa sebuah dron yang berasal dari selatan mengelilingi sebuah kapal UNIFIL di luar pantai Lubnan, menghampiri dalam jarak beberapa meter.
-- BERNAMA
#pasukan pengaman #UNIFIL #selatan Lubnan #serangan Israel
;