Pasukan pengaman dan misi PBB beri amaran mengenai 'kebakaran besar' antara Israel dan Hizbullah

Bernama
Julai 28, 2024 15:52 MYT
Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan memberi amaran pada Ahad mengenai "kebakaran besar" antara Israel dan Hizbullah susulan serangan maut di Bandar Majdal Shams di Bukit Golan yang diduduki. - Foto REUTERS
BEIRUT: Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan memberi amaran pada Ahad mengenai "kebakaran besar" antara Israel dan Hizbullah susulan serangan maut di Bandar Majdal Shams di Bukit Golan yang diduduki.
Agensi Anadolu melaporkan Penyelaras Khas PBB untuk Lubnan (UNSCOL) Jeanine Hennis-Plasschaert, dan Ketua Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) Jeneral Aroldo Lazaro Saenz dalam kenyataan bersama mengutuk "kematian orang awam - kanak-kanak dan remaja - di Majdal Shams."
Mereka menggesa "pihak-pihak yang terlibat untuk menahan diri secara maksimum dan menghentikan pertukaran tembakan yang semakin intensif."
"Ia boleh mencetuskan kebakaran besar yang lebih meluas dan akan melibatkan seluruh rantau dalam malapetaka yang sukar dipercayai," kata mereka.
Anadolu juga melaporkan pihak berkuasa Israel berkata sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 35 cedera apabila roket mengenai padang bola sepak di Bandar Druze di Majdal Shams, bahagian utara Bukit Golan.
Israel menuduh Hizbullah bertanggungjawab atas serangan itu, tetapi kumpulan dari Lubnan itu menafikan penglibatan mereka.
Israel dan Hizbullah telah bertukar tembakan rentas sempadan sejak konflik Gaza pada bulan Oktober, yang menimbulkan kebimbangan mengenai perang besar-besaran.
Susulan serangan itu, Mesir memberi amaran mengenai bahaya membuka medan perang baharu di Lubnan, yang menurutnya boleh menyebabkan rantau ini tergelincir ke dalam peperangan serantau yang menyeluruh.
"Mesir menekankan kepentingan menyokong Lubnan, rakyatnya dan institusinya serta menjauhkannya daripada kesengsaraan perang.
Mesir juga menyeru kuasa-kuasa berpengaruh dalam komuniti antarabangsa untuk campur tangan segera bagi mengelakkan rakyat di rantau ini daripada akibat buruk yang lebih teruk daripada perkembangan konflik, yang boleh mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa," menurut kenyataan daripada Kementerian Luar Mesir.
-- BERNAMA
#pasukan pengaman PBB #amaran #kebakaran besar #Israel #Hizbullah