Pasukan keselamatan Thai tahan lelaki arah serangan infrastruktur elektrik

Bernama
Mei 3, 2017 07:40 MYT
Piyawat menegaskan konflik di selatan Thai itu tidak ada kena mengena dengan kumpulan pengganas Daish. - Gambar fail
Pasukan keselamatan Thailand menahan seorang lelaki yang dipercayai bertanggungjawab mengarahkan serangan terhadap infrastruktur bekalan elektrik di selatan Thai bulan lepas.
Panglima Tentera Bahagian Ke-4, Lt Jen Piyawat Nakwanich berkata penahanan lelaki itu semalam adalah hasil maklumat yang diperoleh dari beberapa suspek yang ditahan oleh pihak tentera sebelum ini.
"Hasil daripada maklumat, kira-kira 100 anggota pasukan keselamatan telah menyerbu sebuah sekolah pondok di Yarang, Pattani semalam (Selasa) dan menahannya," katanya kepada pemberita di Kem Sirintorn di sini hari ini.
Pasukan keselamatan katanya, telah melakukan penggeledahan terhadap sekolah pondok itu tetapi tidak menemui apa-apa bukti, manakala suspek telah dibawa ke Kem Ingkayuthaborihan di Pattani bagi siasatan lanjut.
Sehingga kini sebanyak 15 orang ditahan pasukan keselamatan berhubung kejadian itu yang memusnahkan 52 tiang elektrik di beberapa wilayah selatan Thai pada 6 dan 7 April lepas menyebabkan sebahagian besar wilayah itu terputus bekalan elektrik.
Sementara itu Piyawat juga menegaskan konflik di selatan Thai itu tidak ada kena mengena dengan kumpulan pengganas Daish, ketika laporan media dari Malaysia hari ini mengatakan seorang suspek yang dikaitkan dengan kumpulan itu melarikan diri ke selatan negara itu.
-- BERNAMA
#daish #pengganas #Piyawat Nakwanich #serangan #suspek #Thailand
;