Pasukan keselamatan PBB diserang di Douma, misi siasatan ditangguh
Agensi
April 18, 2018 07:51 MYT
April 18, 2018 07:51 MYT
PASUKAN keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang berada di Douma, Syria, bagi melawat tapak serangan senjata kimia di sana telah diserang oleh penembak rambang pada Rabu.
Serangan ini memaksa mereka untuk berundur ke pangkalan PBB dan menunda misi mereka untuk menyiasat dan mencari fakta di sebalik tragedi berdarah itu.
Menurut ketua pemerhati senjata kimia antarabangsa, Ahmet Uzumcu, kejadian itu memaksa mereka untuk kembali ke Damsyik dan mendapatkan perlindungan.
Bagaimanapun, identiti penyerang setakat ini belum dikenal pasti.
Kenyataan rasmi dikeluarkan selepas mesyuarat tertutup Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) di The Hague menyebut, satu kejadian tembakan kecil berlaku dan satu bom diletupkan semasa misi dilancarkan.
Para petugas, khususnya Inspektor dari OPCW, telah berada di Douma sejak Sabtu lalu, tetapi perjalanan mereka disekat oleh kerajaan Syria dan sekutunya, Rusia, pada Isnin.
Pada Selasa, pasukan sama berdepan kejadian kebakaran yang memaksa mereka untuk terus menangguhkan misi.