Pasukan keselamatan Lubnan tertekan ekoran jenayah babitkan pendatang semakin meningkat
Bernama
Julai 18, 2023 12:02 MYT
Julai 18, 2023 12:02 MYT
BEIRUT: Pemangku Ketua Keselamatan Am Lubnan Elias Bayssari pada Isnin menyatakan kebimbangannya mengenai kadar jenayah yang semakin meningkat di negara itu yang dikaitkan dengan kehadiran berjuta-juta rakyat Syria, lapor Xinhua.
Beliau berkata kehadiran sebilangan besar pelarian itu memberi tekanan kepada pasukan keselamatan, menyebabkan kehabisan sumber negara.
Bayssari berkata apabila jenayah yang jarang berlaku menjadi perkara biasa, pelarian yang tinggal dalam keadaan sukar dan jauh dari tanah air, terdedah untuk terlibat dalam jenayah.
Tekanan ekonomi juga berlaku berpunca daripada kehadiran ramai pelarian Syria yang mewujudkan persaingan dengan penduduk tempatan untuk mendapat peluang pekerjaan, katanya.
Justeru, penting untuk mencapai kesepakatan politik antara Lubnan, Syria dan masyarakat antarabangsa untuk menghantar pulang pelarian ke tanah air mereka.
Meskipun Lubnan bergelut dengan krisis kewangan yang teruk, negara ini menjadi tuan rumah terbesar pelarian di dunia.
Dianggarkan dua juta pelarian Syria mencari suaka di negara itu dan masalah ini memberi tekanan besar terhadap ekonomi negara itu yang sudah pun terjejas teruk.
-- BERNAMA