Pasukan keselamatan Gaza diletak atur di seluruh wilayah selepas gencatan senjata bermula
Bernama
Januari 19, 2025 23:11 MYT
Januari 19, 2025 23:11 MYT
BANDARAYA GAZA: Ribuan anggota keselamatan Gaza diletak atur ke beberapa kawasan di seluruh wilayah itu pada Ahad selepas perjanjian gencatan senjata dengan Israel berkuat kuasa, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik pihak berkuasa tempatan.
Pejabat media Kerajaan Gaza memaklumkan bahawa letak atur ini adalah sebahagian daripada rancangan untuk mengekalkan keselamatan dan ketenteraman di seluruh kawasan itu.
"Majlis perbandaran mula membuka semula dan membaik pulih jalan sejurus selepas gencatan senjata bermula," menurut kenyataan itu.
Pejabat media itu turut menyatakan bahawa kementerian dan institusi kerajaan "bersedia sepenuhnya untuk memulakan tugas di bawah pelan kerajaan bagi memastikan kehidupan kembali normal secepat mungkin."
Penduduk diminta untuk "berhati-hati ketika bergerak antara kawasan" di Gaza.
"Kepulangan semula penduduk yang dipindahkan akan bermula tujuh hari selepas gencatan senjata dikuatkuasakan," katanya.
Perjanjian gencatan senjata itu berkuat kuasa pada pukul 11.15 pagi (0915GMT) Ahad selepas beberapa jam kelewatan akibat dakwaan Israel bahawa Hamas melambatkan penyerahan senarai tawanan yang akan dibebaskan.
Gencatan senjata itu pada asalnya dijadualkan bermula pada pukul 8.30 pagi (0630GMT).
Hamas berkata pihaknya telah menyerahkan senarai tiga tawanan wanita Israel yang dijangka dibebaskan pada Ahad.
Hampir 47,000 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 110,700 lagi cedera dalam serangan genosid Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt, 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
-- BERNAMA