Pasukan ECOWAS siap siaga ke Niger - Sumber rasmi

Bernama
Ogos 19, 2023 15:23 MYT
Semua persiapan yang diperlukan telah selesai, dan ketua pertahanan akan membentangkan laporan mereka kepada pemimpin blok subwilayah untuk arahan selanjutnya. - Gambar fail/ Reuters
ACCRA: Pasukan anggota blok Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat (ECOWAS) bersiap siaga ditugaskan ke Niger pada bila-bila masa sebaik sahaja menerima arahan, lapor Xinhua.
Abdel-Fatau Musah, pesuruhjaya ECOWAS bagi Hal Ehwal Politik, Keamanan dan Keselamatan, membuat kenyataan itu semasa taklimat media selepas mesyuarat dua hari ketua pertahanan ECOWAS di Accra, ibu negara Ghana.
Musah berkata semua persiapan yang diperlukan telah selesai, dan ketua pertahanan akan membentangkan laporan mereka kepada pemimpin blok subwilayah untuk arahan selanjutnya.
"Kami telah pun bersetuju dan memperhalusi logistik yang diperlukan untuk sebarang campur tangan.
"Kami bersedia untuk pergi bila-bila masa arahan dikeluarkan. Mesyuarat ini adalah mesyuarat luar biasa terakhir sebelum penugasan, dan sebaik ketua negara dan kerajaan kami berpuas hati dengan laporan itu, kami bersedia untuk menyahut seruan untuk bertugas," katanya.
Musah turut menggesa pembebasan tanpa syarat Presiden Mohamed Bazoum yang digulingkan, ahli keluarganya, dan anggota kerajaannya yang masih dalam tahanan di Niger.
Pasukan pengantara dijangka tiba di Niamey Sabtu ini untuk mengadakan pertemuan dengan junta tentera mengenai kemungkinan cara menamatkan krisis politik.
--BERNAMA-XINHUA
#Niger #ECOWAS #abdel-fatau musah #konflik
;