Pastikan bencana kebakaran hutan 2015 tidak berulang - Jokowi
Bernama
Januari 23, 2017 17:13 MYT
Januari 23, 2017 17:13 MYT
Presiden Joko Widodo hari ini memberi peringatan kepada pasukan khas pencegah kebakaran hutan Indonesia supaya memastikan peristiwa kebakaran besar hutan pada 2015 tidak berulang lagi di negara ini.
Sambil menyifatkan kebakaran hutan itu sebagai yang paling dasyat pernah berlaku di negara ini, beliau berkata semua pihak harus mengambil iktibar daripada kejadian itu kerana pelbagai usaha yang dilakukan gagal mengawal kebakaran itu daripada terus merebak.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi kebakaran hutan dan ladang bagi memastikan peristiwa kebakaran hutan terburuk itu tidak berulang.
Presiden Joko yang lebih dikenali sebagai Jokowi dipetik media-media dalam talian sebagai berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Koordinasi Pengendalian Kebakaran Hutan dan Ladang 2017 di Istana Negara di sini, hari ini.
Menurutnya segala usaha memadam api ketika kebakaran besar itu berlaku menjadi sia-sia hingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian yang besar.
Kebakaran hutan itu turut mengakibatkan jerebu serius selama beberapa bulan di beberapa negara jiran Indonesia termasuk Malaysia.
Malaysia mengalami jerebu buruk selama empat bulan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara berada pada paras bahaya dan menyebabkan sekolah di beberapa negeri di semenanjung negara itu terpaksa ditutup.
Jokowi berkata semua pihak patut bersyukur kerana pada 2016, kes kebakaran hutan menurun 82.83 peratus dan berharap ia menurun lagi tahun ini.
Beliau berkata kebakaran hutan dan ladang telah memberi kesan kepada ekonomi Indonesia dan kebakaran besar pada 2015 itu mengakibatkan kerugian sebanyak Rp220 trilion (kira-kira RM650 juta) berikutan pembatalan penerbangan dan penutupan sementara pejabat.
Selain itu, bencana tersebut menyebabkan masalah kesihatan dalam kalangan rakyatnya dengan lebih 500,000 orang terutamanya kanak-kanak menghidapi jangkitan saluran pernafasan.
Kebakaran itu turut memusnahkan seluas 2.6 juta hektar hutan dan pelbagai hidupan hutan kehilangan habitatnya.
--BERNAMA