Pascapemakaman Ratu Elizabeth II: Bendera rasmi di UK dinaikkan semula
Agensi
September 20, 2022 22:19 MYT
September 20, 2022 22:19 MYT
LONDON: Bendera-bendera rasmi di United Kingdom yang dikibarkan separuh tiang sejak kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 8 September lalu, dinaikkan semula ke tiang penuh pada Selasa.
Ia dilakukan sehari selepas dunia mengucapkan selamat tinggal kepada Ratu Elizabeth II dengan upacara pemakaman negara pada Isnin.
Bagaimanapun, bendera di kediaman diraja akan kekal separuh tiang selama tujuh hari lagi.
Istiadat pemakaman negara pada Isnin menyaksikan kehadiran Presiden, Raja, Putera Raja, Perdana Menteri dan Menteri-menteri serta jutaan rakyat memenuhi jalan-jalan utama di London dan Istana Windsor bagi memberi penghormatan kepada Ratu Elizabeth II yang memerintah selama 70 tahun .
Sementara itu, di keadaan kembali normal di Windsor dengan kerja-kerja pembersihan turut dilakukan di perkarangan istana itu.
Jambangan bunga dan hadiah yang diletakkan di kawasan peringatan Ratu turut dibersihkan dan dikemaskan.
Ratu Elizabeth II mangkat di Istana Balmoral, Scotland ketika berumur 96 tahun setelah kesihatannya merosot sejak awal bulan ini.