Pascatsunami 20 tahun: Komuniti berdaya tahan bencana Desa Weu Raya, Loknga

Nazri Kahar
Disember 22, 2024 14:45 MYT
Program komuniti berdaya tahan bencana begitu penting untuk mempersiapkan mereka jika berlaku bencana di masa akan datang. - Gambar/ Mercy Malaysia
LOKNGA, ACEH BESAR: Peningkatan skala bencana alam dihadapi dunia, termasuk Malaysia mutakhir ini dapat dikaitkan dengan krisis perubahan iklim hingga persediaan menghadapi cabaran berkaitan, sering dianggap sebagai keperluan mewujudkan daya tahan komuniti.
Pada akhir tahun 2004, secara tepatnya pada 26 Disember 2004 berlaku bencana gempa dan tsunami. Gegaran gempa 9.1 pada skala Richter menjadikan gempa tersebut sebagai salah satu gempa terkuat sepanjang sejarah moden.
Susulan gempa tersebut berlaku ombak tsunami yang meratakan hampir keseluruhan daerah pesisir pantai wilayah Aceh.
Justeru, bagi masyarakat di Aceh, daya tahan berkaitan bencana bukanlah berkara asing buat mereka.
Bencana tsunami yang melanda Aceh Tanah Rencong 20 tahun lalu banyak memberi pengajaran bagaimana mereka perlu bangkit segera daripada bencana, seterusnya meneruskan kehidupan seperti biasa.
Penasihat Kanan Teknikal Mercy Malaysia, Norazam Abu Samah berkata, pihaknya menganjurkan Bengkel Ketahanan Lestari Berasaskan Komuniti untuk Masyarakat Desa Weu Raya, Loknga.
Katanya, program sebegini penting untuk mendapatkan maklumat di lapangan bagaimana komuniti setempat di Desa Weu Raya, dapat mengurangkan dampak bencana seterusnya pantas bangkit untuk pulih meneruskan kehidupan.
Tambah Norazam lagi, melalui bengkel sebegini komuniti Desa Weu Raya diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi bencana tanpa menunggu pihak berkuasa.
"Tindakan pantas ahli komuniti secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko dan impak apabila berhadapan dengan bencana," katanya.
Bagi peserta dari Desa Weu Raya, mereka amat berterima kasih kepada Mercy Malaysia, yang sejak kejadian tsunami 20 tahun lalu tidak pernah melupakan Aceh dan warganya.
Program komuniti berdaya tahan bencana begitu penting untuk mempersiapkan mereka jika berlaku bencana di masa akan datang.
Program ini dianjurkan oleh Mercy Malaysia dengan kerjasama UTM, UiTM (Perak) dan Universitas Syiah Kuala, Aceh menyediakan beberapa modul berkaitan Ketahanan Berlanjutan Berasaskan Masyarakat seperti modul bencana dan keimbangan ekonomi, kesejahteraaan sosial dan perancangan strategik komuniti berdaya tahan Desa Wue Raya.
Ketika tsunami Aceh 2004 hampir 95 peratus penempatan Desa Wue Raya musnah dan separuh daripada penduduk kampung tersebut terkorban akibat badai tsunami.
Untuk rekod sukarelawan Mercy Malaysia antara NGO antarabangsa terawal yang datang menghulurkan bantuan kepada penduduk Desa Weu Raya yang masih hidup dengan membina khemah-khemah penginapan sementara memberikan keperluan perubatan dan makanan asas.
#pasca tsunami #Aceh #mercy malaysia
;