Pasca tragedi Christchurch: Pasukan ragbi Canterbury Crusaders pertimbang tukar nama
Agensi
Mac 18, 2019 15:59 MYT
Mac 18, 2019 15:59 MYT
BERHUBUNG tragedi solat jumaat di Christchurch, sebuah pasukan gergasi ragbi New Zealand, Canterbury Crusaders mempertimbangkan keputusan untuk menukar nama kelab itu setelah isu tersebut dibangkitkan orang awam.
Difahamkan, perkataan Crusaders yang sudah diguna pakai sejak 23 tahun lalu itu mempunyai kaitan dengan peperangan agama zaman pertengahan antara orang Kristian dan umat Islam.
"Dari segi nama Crusaders itu, kami memahami kebimbangan yang telah dibangkitkan.
"Apa yang kami rasa adalah bertentangan dengan apa yang berlaku di Christchurch pada Jumaat. Bagi kami, ia adalah perjuangan untuk perdamaian, perpaduan, dan semangat masyarakat.
"Pasukan ini dan pihak organisasi atasan bersatu padu dengan masyarakat kita dalam menentang tindakan ganas dan dalam menyokong sokongan masyarakat Islam kita," kata ketua eksekutif pasukan itu, Colin Mansbridge dalam satu kenyataan.
Tambahnya, berdasarkan pandangannya, perkara itu adalah sesuatu yang perlu dirunding dan pihaknya menerima semua maklum balas yang disampaikan.
"Namun kami juga percaya bahawa masa untuk (membincangkan) perkara itu kurang tepat buat masa sekarang," katanya.
Namun menurut Editor Newsroom New Zealand, Tim Murphy, menerusi akaun Twitter peribadinya: “Sangat mudah bagi Canterbury Crusaders untuk menukar nama yang tidak masuk akal - hanya tukar ia kepada 'Champions'.”
Kapten pasukan All Blacks, Kieran Read, yang juga merupakan pemain pasukan Canterbury Crusaders memberi sokongan kepada masyarakat Islam di New Zealand menerusi akaun laman sosial Instagram miliknya.
"Negara kita kehilangan insan yang tidak bersalah dalam menghadapi semua yang berlaku. Ketaksuban dan sikap intoleransi tidak mempunyai tempat di sini di Aotearoa (New Zealand). Ini bukan siapa kita," tegasnya.
#All Black
#Canterbury Crusaders
#Christchurch
#Colin Mansbridge
#kieran read
#Muslim
#New Zealand
#perpaduan
#serangan
#serangan pengganas
#Tragedi Solat Jumaat