Pasca-Mangkhut: Puluhan masih tertimbus di Filipina, Hong Kong lumpuh
Agensi
September 17, 2018 06:30 MYT
September 17, 2018 06:30 MYT
Pasukan pencari dan penyelamat Filipina meneruskan usaha mencari puluhan mangsa bencana Taufan Mangkhut yang dipercayai tertimbus dalam satu insiden tanah runtuh.
Secara keseluruhannya, angka kematian di negara gugusan kepulauan itu akibat bencana alam tersebut melibatkan sekurang-kurangnya 65 nyawa.
Angka itu bagaimanapun dijangka meningkat memandangkan lebih 40 orang lagi masih hilang.
Di bandar Itogon, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bukan saja menggunakan perkakasan menggali, malah menggunakan tangan mereka sendiri untuk mengorek tanah yang bercampur bongkah batu.
Sehingga semalam, kaedah itu menemukan sekurang-kurangnya 11 mayat manakala harapan untuk menemukan mangsa lain dalam keadaan bernyawa sangat tipis.
Usaha pencarian itu turut disertai orang awam dan ahli keluarga mangsa yang sama-sama menawarkan diri untuk menemukan sebarang tanda hidup.
“Kami percaya mangsa semuanya masih di situ, namun 99 peratus dipercayai sudah mati,” ujar Datuk Bandar Itogon, Victorio Palangdan.
Sementara itu, lebih daripada 155,000 orang masih berada di pusat-pusat pemindahan di seluruh Filipina meskipun sudah dua hari Mangkhut melanda.
Di seluruh bahagian utara Pulau Luzon, yang menjadi pengeluar dan pembekal beras dan jagung untuk negara tersebut, lumpuh akibat diliputi banjir lumpur sekali gus memusnahkan segala hasil tanaman yang hanya sebulan lagi untuk dituai.
China dan Hong Kong
Keganasan Taufan Mangkhut turut meninggalkan kemusnahan di Hong Kong selain jutaan di selatan tanah besar China terpaksa dipindahkan.
Sekurang-kurangnya empat nyawa terkorban di Guangdong iaitu di wilayah selatan negara tersebut.
Ketika wilayah itu berdepan bencana alam tersebut, sejumlah 2.4 juta penduduk berteduh di pusat-pusat pemindahan dan sehingga hari ini sebahagian besar daripada mereka masih belum kembali ke kediaman masing-masing.
Di Hong Kong pada Isnin, usaha pembersihan kesan kemusnahan dijalankan secara besar-besaran selepas Mangkhut menghuru-harakan bandar raya berkenaan.
Selain 300 orang yang dilaporkan mengalami kecederaan, bandar raya itu kini memerlukan masa untuk pulih, lebih-lebih lagi selepas angin kencang menumbangkan pokok dan memecahkan kaca di jendela bangunan, selain banjir yang membawa lumpur serta kerosakan harta benda awam.
Para sukarelawan bertungkus-lumus tanpa henti dari siang ke malam untuk mengembalikan keadaan seperti asal secepatnya.
Pemerintah di bandar rayu yang terkenal dengan pencakar langit itu menyifatkan kemusnahan akibat Mangkhut ‘sangat dahsyat’.
Antara yang terjejas teruk adalah perkhidmatan bas dan komuter, manakala kesan banjir lumpur masih belum dibersihkan di sesetengah kawasan yang melibatkan kediaman 1,500 penduduk.
Sementara sekolah terus tutup hingga Selasa, sesetengah kejiranan dan kompleks beli-belah juga sedang meneliti kos kemusnahan setelah ditenggelamkan banjir sehingga paras pinggang.
Bangunan tinggi juga tidak terkecuali dari kerosakan, angi kencang yang menerbangkan pelbagai objek keras telah memecahkan banyak panel kaca pada struktur fizikal bangunan.
Selain itu, hentian pelancongan popular Victoria Park turut tidak dapat diakses akibat ratusan pokok yang tumbang hingga merosakkan laluan pendakian tram.
Di Macau, kesemua 42 kasino ditutup buat kali pertama dalam sejarah operasi, kerana kerja-kerja pemulihan infrastruktur yang rosak akibat taufan berkenaan.