Pasca letusan Gunung Berapi Semeru cetuskan banjir lahar sejuk

Bernama
Disember 26, 2023 20:30 MYT
Penduduk diingatkan supaya waspada terhadap ancaman awan panas, lahar, dan aliran lumpur gunung berapi di sepanjang sungai dan lembah. - PVMBG Indonesia
LUMAJANG: Hujan lebat yang melanda kawasan puncak Gunung Semeru di Lumajang, Jawa Timur pada Isnin (25 Dis) mencetuskan gegaran banjir lahar sejuk selama hampir 1.5 jam selepas letusan berlaku awal hari yang sama, lapor Antara.
Seorang pegawai di Pos Pemerhatian Gunung Berapi Semeru Ghufron Alwi berkata berdasarkan pemantauan aktiviti seismik gunung itu, gegaran banjir lahar sejuk itu berlaku pada 25 Dis dari 12 malam hingga 6 petang waktu tempatan.
"Kami mendapati gegaran banjir dengan amplitud 15 mm berlaku selama 5,400 saat (1.5 jam)," katanya dalam kenyataan bertulisnya di Lumajang pada Isnin.
Aktiviti seismik gunung tertinggi di Pulau Jawa itu turut melibatkan dua gegaran angin kencang dan dua gegaran tektonik jauh, katanya.
"Gunung berapi itu masih boleh dilihat walaupun ada kalanya diselubungi kabus, manakala asap dari kawahnya tidak kelihatan. Cuaca antara cerah kepada hujan, dengan angin lemah hingga sederhana bertiup ke utara dan timur laut," katanya.
Sementara itu, Ketua Bidang Pencegahan, Kesiapsiagaan, dan Logistik Badan Penanggulangan Bencana (BPBD) Lumajang Wawan Hadi Siswoyo menggesa penduduk setempat dan pelombong pasir supaya terus berwaspada terhadap aliran lahar sejuk Gunung Semeru.
Beliau berkata gunung berapi itu masih pada tahap siap siaga yang bermakna orang ramai tidak boleh melakukan sebarang aktiviti di tenggara kawasan pergunungan atau berada dalam lingkungan 13 kilometer dari puncak.
Siswoyo turut menggesa orang ramai supaya tidak berada dalam lingkungan 500 meter dari tebing sungai kerana terdapat kemungkinan kawasan itu terjejas oleh awan panas dan aliran lahar serta terdedah kepada batu berbara.
Beliau juga berkata penduduk juga perlu waspada terhadap ancaman awan panas, lahar, dan aliran lumpur gunung berapi di sepanjang sungai dan lembah di kawasan Besuk Kobokan, Besuk Bang, Besuk Kembar, dan Besuk Sat.
-- BERNAMA
#gunung berapi #Semeru #banjir lahar #bencana alam
;