Pasca Brexit: Warga Britain perlu yakin dengan perjanjian perdagangan

Astro Awani
Disember 28, 2020 09:28 MYT
Rishi Sunak di Downing Street, London, Britain, 25 Nov, 2020. - Gambar fail REUTERS
WARGA Britain yang bimbang kesan daripada negara itu meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), atau langkah Brexit, perlu yakin dengan perjanjian perdagangan bebas yang dipersetujui minggu lalu.
Menteri Kewangan Britain, Rishi Sunak berkata, ia merupakan salah satu perjanjian perdagangan bebas paling komprehensif yang pernah ditandatangani.
Jelasnya, rundingan perjanjian itu berupaya memadamkan perpecahan di masa lalu, sekali gus bersedia untuk masa depan lebih meyakinkan.
"Bagi mereka yang bimbang mengenai implikasi ekonomi selepas keluar (daripada EU), mereka perlu sangat yakin dengan sifat perjanjian perdagangan bebas ini yang komprehensif.
"Ia memastikan akses yang bebas kuota, bebas tarif, untuk perniagaan Britain memasuki pasaran Eropah, memastikan jalinan kerjasama ekonomi yang erat dan melindungi pekerjaan di Britain," katanya pada Ahad.
Warga Britain memilih untuk meninggalkan EU dalam satu pungutan suara pada 2016.
Bagaimanapun, kesan keputusan berkenaan terus memecah-belahkan negara itu termasuk dalam senario politik domestik.
#perjanjian perdagangan bebas #komprehensif #Britain #Menteri Kewangan #Rishi Sunak #Brexit #Kesatuan Eropah #kesan ekonomi #implikasi ekonomi
;