Pasca-Brexit: Parlimen Eropah akan sahkan perjanjian perdagangan
Faris Danial Razi
April 27, 2021 22:34 MYT
April 27, 2021 22:34 MYT
BRUSSELS: Penggubal undang-undang Kesatuan Eropah (EU) secara rasmi akan mengesahkan perjanjian pasca Brexit antara EU dan United Kingdom di tengah ketegangan yang berterusan antara London dan Brussels mengenai peraturan perdagangan Ireland Utara.
Perjanjian itu, yang dipersetujui pada Krismas lalu, telah disahkan oleh Parlimen UK dan secara bersyarat berkuat kuasa sementara menunggu persetujuan Parlimen Eropah.
Hanya kerana tidak setuju dengan proses perundangan perdagangan di Ireland Utara, beberapa badan perundangan EU sebelum ini telah mengancam pelaksanaan tersebut, namun sebilangan besar anggota Parlimen menyokong perjanjian itu.
Memetik laporan AP, keputusan undian akan diumumkan pada Rabu, iaitu hampir selepas lima tahun pengundi di UK memutuskan untuk menarik diri daripada gabungan tersebut.
Ketegangan berkaitan status Ireland Utara bermula sejak September lepas apabila Parlimen mempertimbangkan undang-undang yang akan memberi kuasa kepada Perdana Menteri Boris Johnson untuk mengganti sebahagian perjanjian penarikan Brexit yang berkaitan dengan Ireland Utara.
Namun, situasi itu menjadi lebih tegang pada bulan Januari selepas EU menarik balik rancangan menggunakan langkah kecemasan Brexit bagi mengekang eksport vaksin COVID-19 melepasi sempadan Ireland ke UK.
Rancangan asal EU bertujuan mengelak pembukaan sempadan antara Ireland dengan Ireland Utara menjadi pintu belakang bagi bekalan vaksin masuk ke UK.
Penarikan balik rancangan itu menyusuli gesaan terdesak, dengan Johnson memberitahu Presiden Suruhanjaya EU Ursula von der Leyen mengenai "keprihatinan seriusnya".
#Brexit
#Britain
#London
#United Kingdom
#Perdana Menteri
#Parlimen
#Kesatuan Eropah
#undang-undang
#menteri
#presiden
#Boris Johnson
#COVID-19
#vaksin
#Ireland Utara