Pasar raya UK berdepan kekurangan bekalan sayur

Bernama
Februari 23, 2023 11:59 MYT
Tesco menyertai rangkaian pasar raya lain dalam mengehadkan pembelian sayur-sayuran tertentu bagi setiap pelanggan. - Fail
LONDON: Pasar raya di seluruh Britain dipenuhi rak kosong ekoran bekalan produk segar semakin sukar didapati, hingga menyebabkan buah-buahan dan sayur-sayuran dicatu.
Tesco menyertai rangkaian pasar raya lain dalam mengehadkan pembelian sayur-sayuran tertentu bagi setiap pelanggan, lapor Agensi Anadolu.
Bekalan sayur-sayuran terjejas akibat cuaca buruk melanda Afrika Utara dan Sepanyol hingga menyebabkan hasil tuaian yang rendah.
Pasaran tempatan juga dilaporkan terjejas, dengan sesetengah pihak menjual sayur-sayuran pada harga yang jauh lebih tinggi.
Pasar Aziziye yang terletak di utara London, mendedahkan bahawa harga sekotak tomato seberat empat hingga lima kilogram (8.8 hingga 11 paun) telah meningkat kepada 20 paun sterling(US$24) daripada sekitar 7 paun sterling (US$8.43) hampir seminggu yang lalu.
"Cuaca buruk di Sepanyol dan Maghribi telah mengganggu penuaian buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk tomato dan lada, tetapi yakinlah, peruncit melakukan sedaya upaya mereka untuk menangani masalah ini," menurut Konsortium Runcit British pada Selasa.
-- BERNAMA
#United Kingdom #kekurangan sayur #Tesco #cuaca buruk
;