Pasar ekstrem jual daging anjing, kucing diarah henti operasi

Astro Awani
Julai 23, 2023 11:49 MYT
Anggota HSI membawa keluar anjing di dalam sangkar di Pasar Tomohon di Sulawesi Utara susulan larangan penjualan daging anjing dan kucing bermula Jumaat. -AP
MANADO: Sebuah pasar ekstrem yang terkenal dengan penjualan daging anjing dan kucing di Sulawesi Utara, Indonesia dilapor telah menghentikan aktiviti itu baru-baru ini.
Pasar Tomohon diarah menghentikan penjualan haiwan yang lazimnya dijadikan binatang peliharaan itu selepas menerima tekanan daripada para aktivis.
Larangan penjualan daging anjing dan kucing itu mula dikuatkuasakan pada Jumaat lalu, lapor AFP.
Selain daging anjing dan kucing, pasar itu turut dikenali dengan penjualan daging kelawar, tikus, dan ular.
Kumpulan hak asasi haiwan Humane Society International (HSI) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata larangan itu dianggap sebagai titik bersejarah yang dapat menyelamatkan beribu-ribu haiwan berkenaan daripada dipukul dan dibakar hingga mati untuk makanan manusia.
Enam peniaga daging anjing dan kucing di pasar itu menandatangani perjanjian untuk menghentikan penjualan daging haiwan tersebut.
Datuk Bandar Tomohon turut menetapkan undang-undang yang melarang penjualan daging anjing dan kucing di pasar itu.
Pasar ekstrem itu telah mendapat kritikan meluas daripada aktivis susulan kaedah yang digunakan untuk menyembelih haiwan, seperti memukul, menggantung dan membakar haiwan ketika masih hidup.
Gesaan untuk menghentikan aktiviti yang disifatkan tidak berperikemanusiaan itu meningkat selepas kluster pertama wabak koronavirus pada 2020 yang dikaitkan dengan pasar basah di bandar Wuhan di China.
Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan penularan virus sama di tempat lain.
Selain itu, tindakan HSI dan kumpulan hak asasi manusia Indonesia itu juga adalah sebagai usaha mencegah penyebaran virus rabies yang boleh membawa maut.
Salah seorang penjual di Tomohon selama 25 tahun, Elvianus Pongoh, berkata masanya sudah tiba untuk menamatkan penjualan daging haiwan tersebut.
"Saya mungkin telah menyembelih beribu-ribu anjing.
"Sesekali saya melihat ketakutan di mata haiwan itu apabila saya datang untuk membantainya dan ini membuatkan saya berasa sedih.
"Saya tahu larangan ini adalah yang terbaik untuk haiwan dan juga terbaik untuk melindungi masyarakat," katanya dalam kenyataan akhbar HSI.
Kumpulan hak asasi manusia itu juga berkata perjanjian itu sekali gus berpotensi untuk menyelamatkan nyawa beribu-ribu anak anjing di pulau itu.
Difahamkan sekitar 130,000 ekor anjing disembelih setiap tahun.
Indonesia merupakan antara negara di dunia yang masih membenarkan penjualan daging anjing dan kucing mengikut tradisi dan budaya tempatan.
#Pasar Tomohon #pasar ekstrem #Sulawesi Utara #penjualan daging anjing dan kucing
;