Pasar borong Beijing gantung sementara jualan produk sejuk beku

Astro Awani
November 27, 2020 08:00 MYT
Pasar Xinfadi menghapuskan kesemua produk makanan beku, selain menyahkuman lebih 100 unit penyimpanan sejuk dan mematikan tenaga. - REUTERS
PASAR borong terbesar China menggantung sementara pemasaran dan penyimpanan bagi produk sejuk beku termasuk daging dan makanan laut dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di negara itu, lapor portal berita Beijing News.
Pasar Xinfadi yang dikaitkan dengan gelombang kedua COVID-19 di Beijing pada Jun lalu menghapuskan kesemua produk sejuk beku, selain menyahkuman lebih 100 unit penyimpanan sejuk dan mematikan tenaga, pada Rabu.
Keputusan itu dibuat susulan kes positif COVID-19 dikesan melibatkan kakitangan pengendalian makanan sejuk beku di bandar Qingdao dan Tianjin sejak beberapa bulan lalu.
“Kakitangan sektor ini berkemungkinan dijangkiti COVID-19 oleh kerana berkontak dengan produk sejuk beku yang tercemar dengan virus, kemudian tidak berhati-hati ketika mengendalikan produk tersebut,” kata seorang pegawai China, lapor Channel News Asia.
Dalam pada itu, pegawai berkenaan meyakinkan bahawa risiko jangkitan COVID-19 melibatkan produk makanan dingin adalah 'sangat rendah'.
Beijing tidak pernah melaporkan jangkitan tempatan yang melibatkan pasar Xinfadi atau mana-mana pasar yang menjual produk makanan beku.
Tianjin terletak 132 kilometer (km) selatan Beijing manakala Qingdao terletak sekitar 550km selatan ibu negara.
Setakat ini, China mencatatkan sejumlah 86,490 kes kumulatif positif COVID-19 dan 4,634 kematian sejak virus itu mula ditemui hampir setahun lalu.
#China #Beijing #COVID-19 #virus #Asia #makanan #laut #beku #pasar #Xinfadi #pasar Xinfadi #produk sejuk beku #nyah kuman #kontak #sejuk beku #pengendalian makanan #Qingdao #Tianjin #kes positif #pasar borong #gantung #pemasaran
;