Pasangan terkejut besar, bayi disahkan mati 7 tahun lalu masih hidup

Agensi
Februari 22, 2018 09:00 MYT
Pada 2011, doktor memberi tempoh sehingga seminggu untuk hidup kepada bayi yang baru lahir itu ekoran sakit tenat. - Gambar hiasan
Sepasang suami isteri terkejut besar selepas menerima berita bahawa anak mereka yang disahkan meninggal dunia tujuh tahun lalu sebenarnya masih hidup.
Pada 2011, doktor memberi tempoh sehingga seminggu untuk hidup kepada bayi yang baru lahir itu ekoran sakit tenat.
Pasangan dari Volgograd, Rusia itu kemudian dimaklumkan anak mereka telah meninggal dunia.
Namun, tujuh tahun kemudian, mereka dikejutkan dengan penemuan bahawa, anak mereka sebenarnya masih hidup gara-gara kekeliruan pentadbiran di pihak hospital.
Namun pasangan itu hanya dapat tahu tentang berita berkenaan selepas pegawai mahkamah menuntut bayaran £3,000 (RM14,408) untuk kos penjagaan kanak-kanak itu bagi pihak rumah anak yatim.
Apabila pegawai berkenaan menunjukkan dokumen mengesahkan anak itu masih hidup dan tinggal di rumah anak yatim, si ibu terus pengsan.
Kanak-kanak itu dilaporkan secara sah bersatu semula dengan ibu bapanya awal tahun ini.
Namun tidak diketahui sama ada pasangan itu merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital berkenaan atas kesilapan dilakukan.
#bayi #disah meninggal dunia #mati hidup semula #rumah anak yatim #Rusia #Volgograd
;