Pasangan sumbang mahram cekik dua anak hingga mati
Agensi
November 13, 2019 10:46 MYT
November 13, 2019 10:46 MYT
Sepasang 'suami isteri' sumbang mahram tergamak membunuh dua daripada enam anak mereka setelah hubungan terlarang itu diketahui umum.
Pasangan adik beradik Sarah Barrass, 35, dan Brandon Machin, 39, membunuh anak lelaki mereka, Tristan dan Blake Barras, 13 dan 14 tahun, di kediaman mereka di Shiregreen, Sheffield, England pada 24 Mei lalu.
Difahamkan konspirasi pembunuhan keenam-enam kanak-kanak itu dirancang di antara 14 Mei dan 20 Mei
lalu semata-mata kerana enggan menyerahkan anak-anak itu di bawah jagaan jabatan kebajikan masyarakat.
“Saya terlalu sayangkan anak-anak saya. Mereka tidak boleh dipindahkan ke mana-mana,” kata Sarah kepada mahkamah.
Kedua-dua tertuduh yang dibicarakan di Mahkamah Sheffield Crown itu mengaku bersalah membunuh Blake dan Tristan selain cubaan membunuh empat lagi anak mereka sebanyak lima kali.
Keenam-enam kanak-kanak malang itu pada mulanya dipaksa menelan tablet beracun namun apabila tindakan itu gagal, pasangan tertuduh itu mula menggunakan kekerasan bagi menamatkan riwayat zuriat mereka.
Dalam pengakuannya, Sarah berkata telah mencekik Tristan menggunakan tali gaun sebelum Brandon mencekik Blake menggunakan kedua-dua belah tangannya.
Kanak-kanak malang itu kemudiannya disarungkan dengan beg plastik pada bahagian kepala untuk dibiarkan lemas.
Tristan dan Blake dikebumikan di dalam satu keranda dalam satu upacara pengebumian Ogos lalu.
Sarah dan Brandon dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan minimum 35 tahun atas kesalahan mereka.