Pasangan pengantin parah dalam nahas helikopter
Agensi
Jun 14, 2021 12:37 MYT
Jun 14, 2021 12:37 MYT
CANTERBURY: Satu pasangan pengantin di New Zealand cedera parah apabila helikopter dinaiki mereka bersama jurugambar perkahwinan terhempas.
Dalam kejadian di Terrace Downs Golf Resort di sini pada Sabtu, pasangan Mahdi Zougub dan Fay El Hanafy yang baru saja berkahwin sedang dalam perjalanan menaiki helikopter untuk sesi fotografi pasca perkahwinan.
Nahas itu turut dilihat beberapa tetamu manakala yang lainnya berkata "ada terdengar bunyi sesuatu yang terhempas".
Susulan kejadian, pasangan itu bersama jurugambar Rachel Jordan dibawa ke Hospital Christchurch dengan helikopter, manakala mangsa keempat yang mengalami kecederaan ringan dibawa menaiki ambulans.
Mahdi yang patah pinggul akan menjalani pembedahan pada Ahad, manakala isterinya dijangka menjalani pembedahan pada Isnin, lapor Stuff.
Difahamkan pasangan itu sebelum ini pernah menangguhkan perkahwinan mereka susulan tragedi berdarah serangan masjid di Christchurch pada 15 Mac 2019.
Perkahwinan mereka sekali lagi ditangguhkan angkara COVID-19, dan selepas itu mereka bekerja keras setiap hari untuk mengumpul wang bagi perkahwinan mereka.
Sementara itu, halaman Givealittle diwujudkan untuk pasangan itu bagi membantu merancang satu lagi majlis perkahwinan buat mereka.
#New Zealand
#kahwin
#parah
#Nahas
#helikopter
#Christchurch
#tembak
#masjid
#COVID-19
#Islam
#kemalangan
#terhempas
#perkahwinan