Pasangan pendakwa raya kes Donald Trump mengaku ada hubungan

Faida Rahim
Februari 3, 2024 08:45 MYT
Gambar fail menunjukkan Fani Willis (tengah) Nathan Wade (kanan) menjawab soalan wartawan pada sidang media pada 2023. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Dua pendakwa raya Georgia telah menolak arahan untuk membatalkan kes pilihan raya mereka terhadap Donald Trump selepas mengakui mempunyai hubungan.
Peguam Daerah Fulton, Fani Willis mendakwa, tuntutan konflik kepentingan disifatkan sebagai "merosakkan" dan "berniat buruk."
Pendakwa raya luar, Nathan Wade yang dilantik oleh Willis dalam kes ini memaklumkan dalam satu afidavit bahawa mereka "memiliki hubungan peribadi" pada tahun 2022.
Justeru, Trump dan defendan bersama-sama mahu mereka dikeluarkan daripada kes tersebut.
Pembentangan kes pada Jumaat merupakan kali pertama dua pendakwaraya tersebut mengakui hubungan mereka secara terbuka.
Salah seorang defendan bersama Trump, Mike Roman mendakwa, kedua-dua pendakwa raya tersebut mempunyai hubungan yang tidak wajar dan mendapat manfaat kewangan daripada perjanjian tersebut.
Dakwaan ini mengancam untuk merosakkan pendakwaan terhadap bekas Presiden dan sekutunya atas tuduhan konspirasi untuk menggangu keputusan pilihan raya Georgia 2020.
Bekas presiden Trump menulis di Truth Social pada Jumaat bahawa "dengan menyerang individu berprofil inggi... dia berjaya mendapatkan lebih banyak wang untuk 'kekasih'nya."
Dalam hujahannya, Willis menegaskan, mereka tidak memenuhi batas keperluan untuk penyingkiran di bawah undang-undang Mahkamah Georgia.
Willis juga telah memohon kepada Hakim Scott McAfee untuk menolak usaha defendan untuk menyingkirkannya.
Hakim telah menetapkan 15 Februari ini untuk perbicaraan disambung semula.
#Donald Trump #pilihan raya #pendakwa raya #Fani Willis
;