Pasangan panda gergasi tiba di Hong Kong

Bernama
September 26, 2024 21:02 MYT
Ketibaan pasangan panda itu adalah antara acara perayaan paling dinanti-nantikan menjelang ulang tahun ke-75 penubuhan Republik Rakyat China. - AP
HONG KONG: Sepasang panda gergasi yang dihadiahkan oleh kerajaan pusat kepada Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada pagi Khamis, lapor Xinhua.
Ketibaan pasangan panda itu adalah antara acara perayaan yang paling dinanti-nantikan menjelang ulang tahun ke-75 penubuhan Republik Rakyat China, yang jatuh pada 1 Oktober.
"Kami amat gembira untuk mengalu-alukan sepasang panda gergasi yang bertenaga pada masa yang menggembirakan ini," kata Chan Kwok-ki, ketua setiausaha pentadbiran kerajaan HKSAR, pada majlis sambutan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.
Kira-kira 13.00 tengah hari, panda itu dibawa ke Ocean Park Hong Kong disaksikan oleh berpuluh-puluh peminat tempatan sambil melambaikan belon berbentuk panda dan potongan kadbod. Panda itu akan dikuarantin dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu sebelum penampilan awam yang dijadualkan pada Disember.
Panda gergasi itu yang diberi nama An An (jantan) dan Ke Ke (betina), kedua-duanya dilahirkan pada Jun 2019. Ocean Park Hong Kong telah menambah rangka pendakian untuk pasangan yang lincah ini, di samping penambahbaikan lain untuk kediaman panda itu.
Panda itu adalah pasangan ketiga panda gergasi yang diterima HKSAR sebagai hadiah dari kerajaan pusat. Bersama dengan pasangan sebelumnya yang dihadiahkan kepada HKSAR pada 2007 dan anak kembar pasangan itu yang lahir pada 15 Ogos, kini terdapat enam panda gergasi di bandar ini.
-- BERNAMA
#panda gergasi #Hong Kong #ulang tahun #China #Ocean Park Hong Kong
;