Pasangan kelahiran Rusia ditahan di Australia disyaki mengintip

Bernama
Julai 12, 2024 19:52 MYT
Wanita berusia 40 tahun yang merupakan anggota Angkatan Tentera Australia (ADF) dan seorang lelaki berusia 62 tahun, ditahan di rumah mereka di kawasan pinggir bandar Brisbane, pada Khamis. - Gambar hiasan
MOSCOW: Sepasang suami isteri warga Australia kelahiran Rusia telah ditahan di Australia atas tuduhan mengintip untuk Rusia, kata Polis Persekutuan Australia (AFP) pada Jumaat, lapor Sputnik.
AFP dalam satu kenyataan memaklumkan wanita berusia 40 tahun yang merupakan anggota Angkatan Tentera Australia (ADF) dan seorang lelaki berusia 62 tahun, seorang pekerja sendiri ditahan di rumah mereka di kawasan pinggir bandar Brisbane, Everton Park pada pagi Khamis.
"Pasangan itu didakwa pada 11 Julai 2024 dengan persediaan untuk pengintipan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun," menurut polis dalam satu kenyataan.
Menurut polis, pasangan itu didakwa bekerjasama untuk mendapatkan maklumat sensitif ADF dengan niat untuk memindahkannya kepada pihak berkuasa Rusia.
"AFP akan mendakwa bahawa semasa bercuti jangka panjang sejak 2023, wanita itu melakukan perjalanan yang tidak diisytiharkan ke Rusia dengan dan tanpa lelaki itu.
"AFP akan mendakwa bahawa semasa lelaki itu kekal di Australia, wanita itu mengarahkannya cara untuk log masuk ke akaun kerja rasminya dan membimbingnya untuk mengakses maklumat tertentu untuk dihantar terus ke akaun e-mel peribadinya semasa dia berada di Rusia," menurut kenyataan itu.
Maklumat yang diperoleh itu berkaitan dengan kepentingan keselamatan negara Australia, kata polis sambil menambah bahawa ia sedang disiasat sama ada maklumat berkenaan sampai ke Rusia.
Pada hari yang sama, akhbar Brisbane Times melaporkan bahawa sebuah mahkamah Australia telah mengeluarkan nama-nama suspek yang didakwa. Mereka ialah Kira Korolev yang merupakan seorang anggota Tentera ADF dan suaminya, Igor Korolev.
Pasangan itu hadir di Mahkamah Majistret Brisbane pada Jumaat untuk mendengar kes berkenaan.
Selepas prosiding mahkamah, pendakwa raya Rachel Taylor berkata tuduhan itu adalah serius dan memohon agar kes itu ditangguhkan sehingga 20 September. Mahkamah majistret meluluskan permohonan berkenaan.
-- BERNAMA
#pengintip Rusia #Australia #Anggota tentera #pasangan suami isteri