Pasangan kejam dera, rantai dan kurung 13 anak sambil dibiarkan kelaparan

Agensi
Januari 16, 2018 12:08 MYT
Pasangan kejam itu David Allen Turpin, 57 tahun dan Louise Anna Turpin, 49 tahun kemudiannya ditahan dan didakwa atas 9 tuduhan mendera dan 10 tuduhan membahayakan kanak-kanak pada Isnin. - Foto witter - Riverside County Sheriff's Dept
Sepasang suami isteri didakwa atas tuduhan mendera dan membiarkan 13 anak mereka kekurangan zat dan lebih kejam apabila mangsa turut didera dengan dirantai katil.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas salah seorang anak perempuan pasangan itu yang berusia 17 tahun berjaya meloloskan diri dari kediaman mereka di bandar Perris, Los Angeles, Amerika Syarikat.
Mangsa kemudiannya bertindak menggunakan telefon bimbit yang ditemui dikediaman mereka untuk menghubungi pihak polis.
“Polis telah menemukan kediaman yang dipercayai menjadi tempat tahanan 12 anak pasangan itu, dan lebih mengejutkan tujuh daripada mereka adalah mangsa dewasa,” menurut jurucakap polis dalam satu kenyataan.
“Mangsa jelas kehilangan zat dan berada dalam keadaan kotor.”
Mangsa berusia sekitar dua hingga 29 tahun, kata polis lagi.
Pasangan kejam itu David Allen Turpin, 57 tahun dan Louise Anna Turpin, 49 tahun kemudiannya ditahan dan didakwa atas sembilan pertuduhan mendera dan 10 pertuduhan membahayakan kanak-kanak.
Mereka turut dikenakan ikat jamin AS$9 juta seorang.
Menurut jiran, pasangan Turpins itu jarang bergaul dan keluar dari rumah mereka.
Mangsa yang diselamatkan, mengadu kepada pihak polis yang mereka kelaparan namun tidak mendedahkan mengapa ibu bapa mereka bertindak mengurung mereka.
Pasangan itu dijangka dihadapkan di mahkamah Khamis ini.
#anak #anak dirantai #California #David Allen Turpin #dera #Kanak-kanak #Los Angeles #Louise Anna Turpin #mangsa #pasangan kejam #polis #rumah
;