Pasangan di China akan dibenar mempunyai tiga anak
Agensi
Mei 31, 2021 18:24 MYT
Mei 31, 2021 18:24 MYT
CHINA bakal membenarkan pasangan untuk memiliki tiga anak sebagai sebahagian usaha menangani krisis penduduknya yang semakin tua.
Menurut agensi berita tempatan Xinhua, Mesyuarat Politburo iaitu badan pembuat keputusan utama Parti Komunis China, pada Isnin memutuskan untuk memperkenalkan 'dasar-dasar dan pendekatan besar bagi menangani penuaan penduduk'.
Parti pemerintah itu menguatkuasakan dasar perancangan keluarga sejak 1980 bagi mengawal pertumbuhan penduduk, dengan dasar pertama hanya membenarkan seorang anak bagi setiap keluarga.
Pada 2015 ia melonggarkan sekatan berkenaan kepada dua orang anak bagi setiap keluarga.
Namun, banci terbaharu menunjukkan jumlah penduduk negara itu bertumbuh pada kadar paling perlahan sejak beberapa dekad dahulu.
Malah, lebih membimbangkan apabila bilangan penduduk pada usia yang mampu bekerja semakin berkurangan pada kadar yang terlalu laju, manakala penduduk berusia lebih 65 tahun pula semakin meningkat.
Penuaan penduduk dikhuatiri akan membebankan sistem kesihatan negara, di samping kekurangan tenaga kerja muda bagi menyokong golongan warga emas.
Menurut hasil bancian yang dikeluarkan awal bulan ini, kira-kira 12 juta bayi dilahirkan tahun lepas, sekali gus merekodkan penurunan besar berbanding 18 juta pada 2016 serta menjadi rekod jumlah kelahiran bayi terendah sejak 1960-an.
Banci dijalankan pada hujung 2020 dan melibatkan kira-kira tujuh juta petugas banci bagi mengumpul maklumat daripada isi rumah di serata negara.
#China
#bayi
#tiga
#anak
#dasar perancangan keluarga
#one child policy
#Beijing
#Politburo
#Parti Komunis
#populasi
#penuaan
#banci