Pas perjalanan IATA untuk pulihkan industri penerbangan
Bernama
Februari 23, 2021 18:04 MYT
Februari 23, 2021 18:04 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan Pas Perjalanan IATA yang baru dibangunkan akan menjadi pemboleh utama dalam menghidupkan semula industri penerbangan, yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Pas Perjalanan IATA adalah penyelesaian standard antarabangsa untuk mengesahkan peraturan perjalanan di semua negara yang turut membolehkan penumpang mencari maklumat mengenai keperluan perjalanan, ujian serta vaksin bagi penerbangan mereka.
Pengarah Serantau Lapangan Terbang dan Hubungan Luar, Vinoop Goel berkata keutamaan IATA sekarang adalah untuk memastikan bahawa industri penerbangan, terutamanya perjalanan udara antarabangsa pulih kembali selepas banyak syarikat penerbangan terpaksa bergelut dengan cabaran kewangan.
"Kami tidak menjadikan aplikasi ini sebagai penjana pendapatan yang besar; kami cuba mengekalkan kos pada kadar yang agak rendah, sekurang-kurangnya bagi menampung kos pembangunan alat ini.
"Aplikasi ini dirancangkan untuk Android dan iOS," katanya dalam taklimat media maya mengenai Pas Perjalanan IATA hari ini.
IATA juga sedang berhubung dengan lapangan terbang global mengenai proses daftar masuk bagi melicinkan aliran penumpang.
"Beberapa lapangan terbang sangat menyokong usaha ini," katanya.
Naib Presiden Serantau Asia Pasifik IATA, Conrad Clifford melahirkan keyakinan bahawa kerajaan di seluruh rantau ini akan mengguna pakai mekanisme berkenaan untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat mereka.
"Kami cuba mewujudkan standard global di sini. Kami berharap dengan mewujudkan Pas Perjalanan ini, mana-mana penyedia rangka kerja lain akan menggunakan logik atau rangka kerja yang sama, jadi ini tidak akan menimbulkan terlalu banyak versi ke atas alat yang sama," katanya.
Antara lain, pas perjalanan itu membolehkan penumpang mencari pusat ujian dan makmal di lokasi berlepas atau ketibaan mereka bagi melalui ujian saringan COVID-19 mengikut jenis ujian yang diperlukan untuk perjalanan mereka.
Ia juga membolehkan penumpang membuat 'pasport digital' yang akan mengesahkan bahawa ujian/vaksinasi mereka memenuhi peraturan, dan membolehkan mereka berkongsi sijil ujian atau vaksinasi dengan pihak berkuasa agar perjalanan mereka dipermudahkan.
Pas tersebut juga boleh digunakan oleh pelancong untuk menguruskan dokumentasi perjalanan mereka secara digital dan lancar sepanjang perjalanan mereka.
"Keutamaan utama adalah untuk membolehkan individu melakukan penerbangan dengan selamat. Dalam jangka masa terdekat, ini bermakna mewujudkan keyakinan di kalangan kerajaan bahawa ujian COVID-19 pra-perlepasan yang sistematik boleh berfungsi sebagai pengganti kuarantin, dan akhirnya akan berkembang menjadi program vaksinasi.
"Pas Perjalanan IATA adalah penyelesaian industri berdasarkan standard sumber terbuka, yang bermaksud ia boleh digunakan dalam kombinasi dengan penyedia penyelesaian lain atau sebagai penyelesaian yang menyeluruh," tambahnya.
-- BERNAMA
#penerbangan
#IATA
#pas pengangkutan iata
#COVID-19
#pengembaraan
#keperluan perjalanan
#vaksin
#perjalanan antarabangsa
#Pulih