Parti politik memerintah Kemboja menang besar

Astro Awani
Jun 6, 2022 07:15 MYT
Perdana Menteri Hun Sen ketika membuang undi dalam pilihan raya tempatan pada Ahad. - Foto AP
PHNOM PENH: Parti politik yang memerintah Kemboja meraih kemenangan besar dalam pilihan raya tempatan.
Keputusan awal itu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Nasional Kemboj (NEC) semalam.
Pemimpin pembangkang berharap proses undian yang bermula pada Ahad mampu mengubah lanskap politik Kemboja yang selama beberapa dekad berada di bawah cengkaman kuasa Perdana Menteri, Hun Sen menjelang pilihan raya umum tahun depan.
Bagaimanapun, keputusan awal menunjukkan Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Perdana Menteri mencatat kejayaan besar, iaitu menguasai kira-kira 80 peratus daripada jumlah kerusi.
Sementara itu, parti pembangkang, Candlelight Party (CP) dilihat turut berjaya menarik sedikit pengundi dengan jumlah undian 18 peratus.
CP dalam satu kenyataan berkata, pilihan raya itu tidak bebas dan tidak berlangsung adil selain tidak mencerminkan kehendak rakyat Kemboja.
Bagaimanapun, parti itu tidak berhasrat menolak keputusan berkenaan.
Dalam dokumen dalaman CPP diperoleh The Associated Press (AP), parti Hun Sen menerima lebih 5.3 juta undi popular, manakala CP sekitar 1.6 juta undi.
Pada Ahad NEC memaklumkan kira-kira 7 juta orang mengundi dalam pilihan raya itu dengan peratusan keluar mengundi adalah kira-kira 78 peratus.
17 parti dengan 82,786 calon bertanding pada pilihan raya berkenaan.
Keputusan rasmi pilihan raya tempatan itu dijangka tidak akan dikeluarkan sehingga 26 Jun ini.
#pilihan raya #CPP #Hun Sen #CP
;