Parti pembangkang populis sayap kanan menang pilihan raya wilayah Czech

Bernama
September 22, 2024 04:20 MYT
Anggota bomba menubuhkan pusat membuang undi sempena pilihan raya wilayah di Široká Niva, Republik Czech, 20 Sept 2024. (Foto AP)
PRAGUE: Parti pembangkang populis sayap kanan Republik Czech, ANO, yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Andrej Babis, meraih kemenangan mutlak dalam pilihan raya wilayah yang diadakan sejurus selepas banjir besar melanda negara itu, menurut keputusan rasmi yang diterbitkan pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
ANO muncul sebagai peneraju di 10 daripada 13 parlimen wilayah, menurut laporan pihak berkuasa statistik CSU.
Di peringkat EU, ANO merupakan sebahagian daripada kumpulan Patriots for Europe, yang turut disertai oleh Fidesz dari Hungary, National Rally dari Perancis dan Parti Kebebasan Austria.
Kehadiran pengundi dalam pilihan raya yang diadakan pada Jumaat dan Sabtu mencatatkan kadar rendah, iaitu 32.9 peratus, dipengaruhi oleh banjir yang menyebabkan empat orang terkorban serta kerosakan yang teruk. Kerajaan memutuskan untuk tidak menangguhkan pilihan raya atas alasan undang-undang.
Parti-parti dalam gabungan pemerintah liberal-konservatif di bawah Perdana Menteri Petr Fiala hanya menang di Bohemia Selatan, Moravia Selatan dan Liberec. Walaupun keputusan itu bukanlah satu kemenangan, ia juga bukan kekalahan yang memusnahkan, kata Fiala.
"Kita perlu menjadi lebih baik, lebih kuat dan lebih berjaya," katanya, sambil menyifatkan pilihan raya itu sebagai ujian penting pendapat sebelum pilihan raya parlimen tahun hadapan.
ANO meningkatkan jumlah kerusi yang dimilikinya dalam 13 parlimen wilayah daripada 178 kepada 292 tetapi dijangka kekurangan rakan gabungan.
Wilayah-wilayah ini menguruskan sekolah, hospital, rumah jagaan, dan mengagihkan subsidi EU. Prague mempunyai status khas dan tidak termasuk dalam undian kali ini.
Pilihan raya bagi 27 daripada 81 kerusi di senat juga diadakan. Pilihan raya ini, yang sepertiga senator dipilih, diadakan setiap dua tahun.
-- BERNAMA
#Republik Czech #parti ANO #pilihan raya #pembangkang
;